ABDUL Hamid. FOTO arkib NSTP
HM Digital

KETUA Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan video seks membabitkan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah tulen.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan CyberSecurity tidak dapat memastikan 100 peratus pelaku dalam video berkenaan.

"Jawapan yang kami terima, mereka kata tulen. Tapi mereka tidak dapat sahkan 100 peratus siapa pelaku itu (video).

"Saya selaku Ketua Polis Negara tidak boleh memandai-mandai. Perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke muka pengadilan nanti.

"Saya harap orang ramai faham kekangan tanggungjawab saya sebagai Ketua Polis Negara," katanya dalam satu rancangan televisyen terbitan RTM, malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Hamid memberitahu akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung ketulenan video berkenaan selepas lawatan kerja di Markas Angkatan Tentera Malaysia, Wisma Pertahanan, hari ini.

Pada 13 Jun lalu, Haziq dalam satu kenyataan mengakui sebagai individu di dalam rakaman video seks sejenis dengan seorang lelaki yang tular di media sosial.

Malah, Haziq mengakui bahawa seorang lagi lelaki yang bersamanya dalam rakaman berkenaan adalah seorang menteri kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 4:31 PM