SYAZWAN bersyukur watak antagonis dalam drama Pujaan Hati Kanda buka banyak peluang.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

KARIER seni Syazwan Zulkifly sedikit perlahan tahun lalu namun selepas tampil dengan watak antagonis dalam drama Pujaan Hati Kanda, namanya kembali menjadi sebutan.

Pelakon berusia 32 tahun ini lega kanvas seninya kembali berseri. Dia turut meluahkan rasa syukur tawaran drama berkenaan menjadi pintu yang membuka lebih banyak rezeki selepas 10 bulan menanti peluang.

“Sepanjang tahun lalu bukan langsung tiada kerja. Saya masih terima tawaran menjayakan filem, drama, teater serta telefilem tetapi tidaklah banyak seperti sebelum ini.

“Biasanya, saya akan berlakon sekurang-kurangnya empat drama setahun tetapi pada 2018 kerjaya saya bergerak agak perlahan,” katanya.

Mula dikenali menerusi drama Juvana sebagai Apek kemudian terus mencipta fenomena tersendiri menerusi lakonannya dalam beberapa drama seperti Karlos, 7 Hari Mencintaiku dan Halalkan Hati Yang Ku Curi, bakat jejaka ini diperakui ramai.

Boleh dikatakan setiap penjiwaannya menjadi. Berilah apa saja watak, pastikan dapat dizahirkan dengan sebaik mungkin.

Syazwan sekali lagi mencuri perhatian penonton menerusi karakter Pali. Ramai memuji lakonannya yang bersahaja. Sehingga kini, watak itu masih kekal di ingatan penonton setiap kali berbicara mengenai Pujaan Hati Kanda.

“Syukur, sejak awal tahun kerjaya saya berjalan lancar. Setakat ini sudah beberapa drama yang saya jayakan. Untuk bulan ini saja, ada dua drama yang ditayangkan. Alhamdulillah.

“Sudah pasti situasi ini menggembirakan saya. Malah, saya lega kerana lakonan saya masih diterima ramai walaupun lama tak muncul di kaca televisyen sebelum ini. Saya berterima kasih atas sokongan mereka,” katanya.

Meskipun ramai pelakon baru mewarnai industri, Syazwan yang sudah lapan tahun mencanai bakat sedikit pun tidak tergugat dengan kehadiran mereka.

Ini kerana dia yakin masih relevan dalam industri seni tanah air. Malahan, dia tidak terfikir mahu bersaing dengan pelapis muda.

Kehadirannya dalam bidang seni bukanlah bagi membuktikan dia lebih baik sebaliknya berharap setiap kerja seni yang dipersembahkan dihargai dan dijadikan penanda aras serta rujukan buat peminat karya tempatan.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa. Cukup sekadar umum menghargai hasil kerja saya. Tidak ada apa-apa yang boleh saya tawarkan kepada penonton kecuali menggunakan bakat untuk menghiburkan mereka.

“Penonton yang menilai lakonan saya itu bagus atau sebaliknya. Jalan cerita menarik juga adalah nilai tambah yang mempengaruhi rating sesebuah karya,” katanya.

Perkembangan lain, Syazwan bakal tampil dengan filem baharu berjudul Wangi pada 5 September hadapan. Naskhah seram berkenaan turut dibintangi Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:00 AM