RICHELLE (kiri) bersama Bamini yang datang melawatnya di Hospital Likas, Kota Kinabalu, semalam. (Gambar kanan) Bamini ketika berambut panjang.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA terharu, tidak sangka dia sanggup mengubah imej demi menunjukkan tanda sokongan terhadap saya,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Universiti Malaysia Sabah (UMS), Richelle Hii Hua Yin.

Richelle, 20, yang penghidap barah tulang tahap tiga mengulas mengenai kesanggupan pensyarah kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Dr Bamini KPD Balakrishnan, 39, membotakkan kepala sebagai tanda sokongan kepadanya.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia tahu mengenai perkara itu selepas menerima kiriman gambar di aplikasi WhatsApp daripada Bamini pada Khamis lalu.

Katanya, Bamini pernah menyatakan keinginan untuk membotakkan kepala, tetapi dia tidak sangka wanita berkenaan serius melakukannya.

“Selepas menerima kiriman gambar di WhatsApp, saya terus menghubunginya dan menangis kerana sedih dengan sokongan diberikan.

“Kami memang mengenali satu sama lain, cuma jarang berinteraksi namun saya hargai pengorbanannya dan hanya tuhan dapat membalas kebaikannya itu.

“Semalam, dia (Dr Bamini) datang melawat saya dan saya gembira kerana sempat meluangkan masa serta mengambil gambar bersamanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


RICHELLE (dua dari kiri) bersama ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Richelle berkata, selain Bamini, keluarga dan rakan terdekat banyak memberi sokongan sejak dia disahkan menghidap penyakit berkenaan pada Februari lalu.

Gadis berasal dari Beluran, Sabah itu berkata, besar harapannya untuk kembali sembuh bagi meneruskan pengajian di universiti selepas tertangguh disebabkan masalah kesihatan.

“Pada mulanya, saya dapat menerima hakikat (menghidap barah tulang) tetapi mula hilang keyakinan diri selepas dua minggu sesi rawatan kemoterapi pertama kerana mengalami keguguran rambut serius ketika itu.

“Disebabkan tidak mahu individu sekeliling memandang pelik, saya ambil keputusan untuk memakai rambut palsu, tetapi kini lebih selesa tanpanya (botak).

“Diharap, pesakit barah lain tidak patah semangat kerana masih ada peluang untuk sembuh selagi kita bernyawa,” katanya yang kini menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Likas, Kota Kinabalu, Sabah sehingga esok.

Sementara itu, Bamini berkata, dia mengetahui keadaan Richelle sejak Februari lalu iaitu selepas penuntutnya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan.

“Ini salah satu perkara paling ‘gila’ pernah saya lakukan dalam hidup, tetapi saya tidak menyesal kerana melakukannya dengan kerelaan hati.

“Selain cemerlang dalam pelajaran, Richelle turut aktif dalam kegiatan kokurikulum, namun diduga dengan penyakit barah dan sel (barah) itu sudah merebak ke paru-paru sebelum dia menjalani rawatan kemoterapi pertama pada awal Mac lalu.

“Rawatan berkenaan menyebabkan Richelle keguguran rambut dan keadaannya itu mendorong saya membotakkan kepala supaya dia tahu saya ada bersamanya.

“Saya botakkan kepala pada Khamis lalu dan pemilik salon berkenaan tidak mengenakan bayaran selepas mengetahui niat sebenar saya membotakkan kepala," katanya.

Bamini berkata, selain ahli keluarga dan rakan terdekat, tindakannya itu turut mendapat sokongan daripada pihak universiti terutama Dekan FPEP Prof Madya Dr Raman Noordin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pascasiswazah FPEP, Dr Arif Kamisan Pusiran serta bahagian HEP, Jabatan HEP UMS.

Berita berkaitan

'Botak kepala tanda sokongan'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:30 PM