Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“SAYA hanya minta hak, tapi diperlekehkan sebegitu rupa. Kasihankan menjadi artis?,” kata penyanyi, Aishah mengenai tindakan ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Vida yang menayang dan meletakkan dua berlian berharga masing-masing RM27,100 dan RM12,920 di dalam keropok.

Aishah, 54, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata, dia juga tidak tahu menahu mengenai sidang media yang dibuat ahli perniagaan itu.

Menurut Aishah yang popular menerusi lagu Janji Manismu, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman tidak sepatutnya mempertikaikan hadiah barang kemas sebagai hadiah tambahan kerana ia sudah dimasukkan dalam senarai hadiah pemenang pada minggu ketujuh Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

“Anda sendiri boleh tengok keikhlasan orang. Pernah ke orang bagi barang tapi letak dalam kerepek dulu dan campak.

"Bagi saya ini penghinaan dan diperlekehkan. Dari awal lagi saya dan suami dikatakan tidak menyempat mahu memilih barang kemas sedangkan jadual padat dan masa itu saja yang ada. Tak perlu nak perlekehkan macam kita tak pernah jumpa berlian,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, GV4 adalah pentas profesional serta bukan pentas mak cik bawang pergi menyanyi di kenduri kahwin dan tuan rumah bagi hadiah 'ikhlas'.

Ditanya mengenai dakwaan Vida mengatakan dia terlebih dulu sampai di kedai emas untuk membuat pilihan, Aishah menafikan dirinya terdesak.

“Hari ini memang tarikh akhir penyerahan barangan kemas seperti yang dipersetujui pada sesi mediasi.

“Lagi satu, kami pergi ke kedai emas ini selepas mediasi kerana petang itu kami memang berkelapangan.

“Saya nak jumpa peguam pun masing-masing sibuk, jadi kami terus ke sana. Bukan pasal kami lahap sangat barang ini. Lagipun bukannya dapat ambil terus. Saya difahamkan, baru hari ini dia menyelesaikan bayaran iaitu hari terakhir ikut perjanjian,” katanya.

Katanya, dia juga tidak bersetuju dengan kenyataan Vida mengatakan kos guaman yang dibayar RM7,500 adalah satu sedekah, sedangkan ia sudah diputuskan dalam proses mediasi sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Aishah berkata, tidak timbul isu barangan kemas yang diberikan sebelum ini susut nilai.

“Barang kemas ini sudah dinilai oleh pakar iaitu rantai emas putih. Tapi, selainnya batu sintetik dan cubic zirconia. Tak ada isu susut nilai di sini,” katanya.

Terdahulu, dalam sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini, Vida menunjukkan berlian dan barangan kemas bernilai RM80,000 yang dipilih Aishah sebelum diserahkan melalui peguamnya di sebuah kedai emas di Bangsar.

Vida berkata, dia berbesar hati memenuhi permintaan Aishah atas persetujuannya sendiri untuk memberikan sesuatu yang menggembirakan Aishah sebagai juara GV4.

Katanya, dia berharap penyerahan itu nanti menamatkan segala kemelut melanda sejak lebih setahun lalu dan dia juga tiada masalah untuk bertemu dengan Aishah.

“Saya harap penyerahan barang kemas ini akan menamatkan semua kemelut dan isu yang melanda.

“Kalau saya jumpa dia pun lepas ini tak ada masalah, saya boleh tanya macam mana berlian?,” katanya.

Terdahulu, pada sidang media 6 Julai lalu, Vida membuat permohonan maaf kepada Aishah.

Kemelut isu berlian palsu antara Aishah dan Vida berakhir selepas mereka bersetuju menyelesaikan perkara itu secara mediasi.

Aishah menjelaskan usahawan yang juga penaja program realiti GV4 itu perlu membayar harga pameran barang kemas berjumlah RM80,000 kepadanya pada atau sebelum hari ini (17 Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 6:42 PM
AISHAH (kanan) tidak tahu menahu mengenai sidang media dibuat Vida (kiri) mengenai hadiah barang kemas dituntutnya selepas menjuarai Gegar Vaganza musim keempat. FOTO Arkib NSTP