Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SAMA ada inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup atau bersambung lagi akan diketahui pada Rabu depan.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh sama ada wujudnya keperluan untuk memanggil pakar patologi lain atau menamatkan prosiding inkues itu.

“Sama ada perlu memanggil saksi pakar patologi lain atau tidak akan diketahui pada tarikh itu (24 Julai),” katanya dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam masuk hari ke-41, hari ini.

Selain itu, Koroner Rofiah turut menetapkan tarikh sama bagi permohonan bapa anggota bomba itu, Mohd Kassim Abdul Hamid ,64 ,untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung punca kematian anaknya.

Terdahulu, peguam mewakili keluarga Adib, Kamaruzaman A Wahab memohon tarikh sebutan bagi permohonan ex-parte (sebelah pihak) itu.

“Permohonan ini sudah berada dalam sistem, namun saya belum menelitinya lagi ,” katanya.

Semalam, Kamaruzaman memaklumkan Mohd Kassim membuat permohonan ex-parte melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates di Mahkamah Sesyen pada 8.20 pagi.

Sehingga kini, seramai 31 saksi inkues termasuk dua pakar patologi dipanggil memberi keterangan bagi membantu Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan Mohd Kassim, Tommy adalah seorang Peguam Negara yang secara salah mengambil pendirian dan membuat keputusan pra-matang bagi pihak Jabatan Peguam Negara tentang punca dan sebab kematian Muhammad Adib.

Melalui afidavit itu, Tommy didakwa menghina mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan media yang akan mengganggu kelancaran dan ketelusan proses inkues anggota bomba itu.

Selain itu, Tommy didakwa campur tangan salah dalam pelaksanaan keadilan hingga menyebabkan prosiding inkues kematian Muhammad Adib tertangguh, sekali gus melengahkan keadilan daripada dicapai.

Mohd Kassim turut mendakwa tindakan Tommy yang menindas peguam Syazlin Mansor daripada melakukan tugasannya sebagai peguam yang sah mewakili kepentingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JPBM dan keluarga Muhammad Adib.

Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pemerhati dalam inkues itu selepas Tommy menyatakan kecederaan dialami Muhammad Adib bukanlah dipukul pada perenggan ke-5 dan 6 afidavit itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung Rabu depan.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:37 PM