(Gambar kiri) Mohd Syafiq membawa Nur Aaira Syifaa menziarah pusara Siti Aminah. (Gambar kanan) Mohd Syafi menziarahi pusara Nur Aaira Syifaa. FOTO Ihsan Mohd Syafiq
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


“TIADA siapa mahukan perpisahan tapi siapalah kita untuk menghalang ketentuan Allah dalam menentukan perjalanan hidup setiap insan.

“Apa yang aku alami tidak seperti orang lain fikirkan, dalam kesedihan aku bersyukur atas pinjaman ini walaupun hanya sementara untuk membolehkan aku bergelar suami dan ayah.”

Itulah coretan yang diluahkan Mohd Syafiq Zakaria, 28, selepas dia kehilangan isteri dan terbaru, anaknya perempuannya berusia dua tahun lima bulan.

Selepas Mohd Syafiq diijab kabul dengan Siti Aminah Hassan pada 2015, pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan yang istimewa, dua tahun kemudian.

Namun, ssterinya meninggal dunia pada Mac tahun lalu selepas mengalami pelbagai penyakit termasuk buah pinggang bocor, manakala anaknya Nur Aaira Syifaa menyusul ibunya pada 7 Julai lalu.

Kehilangan kedua-dua insan itu membuat Mohd Syafiq hampir hilang arah dan kekuatan untuk meneruskan perjalanan di dunia ini.

“Sewaktu melahirkan Aaira, isteri berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Semasa mengandung, dia dikesan mengidap diabetes tapi rendah dan boleh dikawal. Selepas itu arwah mengalami darah tinggi.

“Sebaik bersalin, arwah pula mengalami batuk tidak henti-henti walaupun kerap ulang-alik dari hospital atau klinik. Hingga penyakit itu memberi kesan ke jantung dan buah pinggang sebelum dia meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Pada ketika itu, saya hilang tempat mengadu dan kekuatan saya hanya pada Nur Aaira. Dialah tempat saya mengubat kesedihan tapi hanya bertahan selama 15 bulan apabila dia juga bertemu ibunya.

“Nur Aaira cukup istimewa walaupun dia dilahirkan bukan seperti kanak-kanak lain, memiliki satu otak. Doktor pernah memberitahu riwayat Nur Aaira tidak lama tapi saya sentiasa berdoa supaya dia panjang umur,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Syafiq meluahkan isi hati yang terpendam dalam Facebook miliknya hingga menarik perhatian netizen yang tidak putus memberi sokongan kepadanya.

Malah, luahan berserta gambar dia menziarahi pusara kedua-dua insan itu mendapat 16,000 tanda suka, selain 3,700 ulasan serta 6,900 perkongsian warga maya.

Beberapa keping lain yang menjadi kenangan Mohd Syafiq bersama isteri dan turut dimuat naik membuatkan ramai netizen tersentuh dengan keadaan berlaku ke atasnya.

Kakitangan Pos Laju Putrajaya itu berkata, selepas pemergian isteri dan anak, dia akan menziarahi pusara kedua-duanya setiap minggu untuk mengubati kerinduan.

“Saya merindui mereka. Isteri dikebumikan di Setapak, manakala anak di Semenyih. Apabila situasi ini berlaku, saya kalah dengan kekuatan selama ini.

“Saya hilang tempat mengadu. Sepanjang hayat, isteri tidak pernah mengeluh apabila kami dikurniakan anak istimewa ini,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia tidak pernah menyalahkan takdir kerana saya tahu percaturan Allah ada hikmah di sebaliknya.

“Mungkin saya sedih di dunia, tapi Insya-Allah, saya yakin pasti gembira di akhirat. Buat isteri dan anak, bermain di taman syurga. Jangan lupa hadir dalam mimpi baba supaya terubat rindu dekat adik dan mami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:51 PM