MUHAMAD Nazri menjadikan kerja memikat burung tekukur sebagai sumber pendapatan utama.
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


SEREMBAN: Memikat burung tekukur bukan mudah kerana ada ketika memerlukan sehingga lebih lima jam untuk mendapatkan seekor burung.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Muhamad Nazri Hassan, 42, kerana kerja itu menjadi sumber pendapatan utama lelaki berkenaan menyara keluarga.

Pada mulanya, aktiviti memikat dan menjual burung dilakukan secara sambilan sejak 2009, namun dia mengambil keputusan menjadikannya sumber pendapatan tetap selepas kilang paip tempatnya bekerja di Nilai ditutup tiga tahun lalu.

Muhamad Nazri yang lebih dikenali sebagai Amat Tekukur berkata, permintaan terhadap burung tekukur sentiasa ada dalam kalangan peminat tempatan atau luar negara seperti Singapura, Thailand dan Kemboja.

“Biasanya burung yang dipikat habis dijual kerana mendapat permintaan ramai pembeli tempatan dan luar negara.

“Ada ketika saya terpaksa mendapatkan bantuan rakan yang juga pemikat burung kerana stok burung tidak mencukupi.

“Walaupun pendapatan tidak lumayan berbanding perniagaan lain, tetapi saya bersyukur dan puas hati mampu menyara keluarga,” katanya di rumah di Taman Panchor Jaya, Paroi di sini, semalam.

Bapa kepada empat anak berusia tiga hingga 12 tahun itu berkata, dia sudah menjual 120 tekukur termasuk kepada pembeli luar sejak Januari lalu.

“Harga burung tekukur atau pemikat lebih tinggi dan mampu mencecah RM1,500 seekor berbanding burung biasa yang dijual antara RM400 sehingga RM1,000.

“Bulan ini sahaja saya sudah menjual empat burung dengan dua dibeli peminat dari Kemboja dan selebihnya pelanggan tempatan,” katanya.

Katanya, dia pergi ke kampung dan pinggir bandar di sekitar daerah ini serta Rembau, malah pernah ke Bera, Pahang dan Tangkak, Johor semata-mata untuk memikat burung.

Katanya, dia juga sering menyertai pertandingan memikat tekukur di negeri ini termasuk di Sabah dan Sarawak serta beberapa kali memenangi pertandingan berkenaan.

“Melalui aktiviti berkenaan, kami dapat berkumpul dan merapatkan hubungan silaturahim antara peminat dan pengumpul burung tekukur di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:40 AM