NELAYAN dari pantai timur berkumpul di hadapan bangunan Parlimen membuat demonstrasi aman bagi membantah pencerobohan nelayan asing Vietnam dan Myanmar.
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Lebih 500 nelayan pantai timur dan utara tanah air berarak ke perkarangan luar bangunan Parlimen di sini, semalam bagi mengadakan demonstrasi aman membantah pencerobohan nelayan asing.

Seawal jam 8 pagi kumpulan nelayan berkumpul di sepanjang bahu jalan 50 meter dari pintu masuk bangunan Parlimen manakala pihak berkuasa juga sudah berkawal sejak awal.

Mereka membawa beberapa sepanduk sambil melaungkan takbir serta diiringi ‘hapuskan alibaba’ berulang kali.

Bagaimanapun, demonstrasi disertai nelayan dari Pahang, Terengganu, Kelantan serta beberapa wakil dari Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang itu berlangsung dengan aman.

Tiga jam selepas itu, wakil nelayan menyerahkan memorandum kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turun dari kenderaan rasminya.

Lima wakil mereka kemudian memasuki bangunan Parlimen untuk bertemu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub bagi membincangkan isu itu serta menyerahkan memorandum.

Ketua demonstrasi berkenaan, Bahiyuddin Awang berkata, keletihan akibat menempuh perjalanan jauh sejak tengah malam kelmarin ke ibu negara tidak mematahkan semangat kumpulan nelayan itu berhimpun bagi memperjuangkan hak mereka.

Katanya, memorandum itu mendesak kerajaan mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan nelayan asing yang sudah berlarutan sejak tujuh tahun lalu.

“Kita mahu kerajaan ambil tindakan tegas dan batalkan lesen yang dialibabakan nelayan tempatan jika perlu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dalam isu ini.


SALAHUDDIN (tengah) menerima memorandum daripada wakil nelayan yang mengadakan demonstrasi aman ketika Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

“Inilah punca semua masalah pencerobohan nelayan asing terutama Vietnam ini semakin mengganas dan berleluasa.

“Tindakan orang kita memberi sewa kepada tauke Vietnam ini menjejaskan pendapatan nelayan sedia menjadikan hasil tangkapan kita terjejas teruk.

“Kalau lima tahun dulu, empat hari di laut paling kurang pun kita dapat 2 tan hasil laut, tetapi sekarang hendak dapat 1 tan pun sakit,” katanya semalam.

Nelayan dari Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan Mohd Kamal Husin,51, pula berkata, tindakan nelayan Vietnam menggunakan peralatan menangkap ikan yang diharamkan negara ini memusnahkan ekosistem perairan negara.

“Penggunaan pukat hanyut, pukat tunda ganding dan peralatan tangkap gamat patut dihapuskan.

“Ia menjejaskan terumbu karang dan habitat ikan hingga menjejaskan tangkapan kami,” katanya.

Sementara itu, nelayan Kuala Terengganu, Mohd Rusdan Mamat, 47, berkata dia kerugian RM17,000 akibat bot miliknya dilanggar bot nelayan Vietnam hujung bulan lalu.

“Kami terjaga daripada tidur 2.30 pagi apabila mendengar dentuman kuat dan mendapati bot nelayan Vietnam melanggar kami dan terus melarikan diri.

“Bahagian depan bot saya rosak teruk. Dua minggu saya tidak turun laut kerana bot rosak dan kos membaikinya menelan belanja RM17,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:30 AM