Anak penyu hijau yang menetas di pusat pembiakan penyu, Mabul Turtle Hatchery di Pulau Mabul, Semporna. Foto Ihsan Scuba Junkie
Roy Goh
news@nst.com.my


SEEKOR anak penyu hijau berkepala dua yang baru menetas menjadi bualan hangat masyarakat di Pulau Mabul, daerah pantai timur Semporna.

Fenomena yang dianggap pelik itu berlaku di pusat pembiakan penyu, Mabul Turtle Hatchery yang diurus SJ SEAS iaitu sebuah badan pemuliharaan di bawah Scuba Junkie (SJ).

Pengerusi SJ SEAS Mohd Khairuddin Riman berkata, penemuan itu mengejutkan banyak pihak terutamanya mereka yang terbabit di dalam program pemuliharaan penyu.

“Kami sudah melepaskan lebih 13,000 anak-anak penyu daripada pusat pembiakan ini dan tidak pernah melihat fenomena itu sebelum ini.

“Warden Kehormat Hidupan Liar (HWWs) dari Jabatan Hidupan Liar Sabah turut teruja selain sibuk kerana turut menerima dua kumpulan anak penyu yang baru menetas semalam dan menemui sebuah lagi sarang penyu,” katanya.

Pakar Biologi Marin dan pengurus Pemuliharaan SJ SEAS David McCann berkata, penemuan itu sememangnya menarik.

“Kedua kepala anak penyu itu bernafas secara sendiri dan memberi reaksi yang berbeza. Kepala kanan seolah-olah mengawal sirip depan sebelah kanan, manakala kepala kiri mengawal sebelah kiri.

“Kedua kepala berupaya mengawal pergerakan secara teratur untuk bergerak dan berenang,” katanya lagi.

Pembantu pengurus jabatan dari Unit Penyelamat Hidupan Liar Dr Sen Nathan berpendapat kejadian itu adalah fenomena yang jarang berlaku.

“Kejadian ‘dicephalisme’ adalah sangat jarang, walaupun hampir tidak didengari sebelum ini tetapi kejadian hampir serupa dilaporkan pernah berlaku di Pulau Redang pada 2014.

“Anak penyu itu dikaji selama tiga bulan sebelum ia ditemui mati akibat ‘pneumonia’ (radang paru-paru),” katanya.

Dr Sen turut mendakwa penyu itu berkemungkinan tidak dapat bertahan di luar termasuklah spesimen terbaru kerana cengkerang tidak berkembang atau tertutup sepenuhnya.

Pemerhatian daripada pakar biologi di tapak kajian turut menunjukkan apabila berada di laut dalam, satu daripada kepala berkenaan tidak mampu keluar dari air dan bernafas dengan selesa.

“Anak penyu yang menetas ini perlu di simpan dalam air cetek bagi membolehkan ia bernafas dengan mudah,” katanya.

Pengarah Hidupan Liar Negeri Augustine Tuuga pula berkata, anak penyu itu akan diletak di bawah pemerhatian pakar biologi dan HWWs di pusat berkenaan.

Penyu hijau dan penyu karah dilindungi oleh undang-undang di Sabah dan diletak di bawah Jadual 1, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 10:54 PM