FADHILAH (kiri) menunjukkan borang faedah pencen Penakat PERKESO kepada suami dan enam anak mangsa di rumah mereka di Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam. (gambar kecil) Sariani Mohd Sharif. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


“SAYA terkejut tetapi biarlah duit diterima ini dibahagikan kepada enam anak untuk merasai hasil pengorbanan arwah ibu mereka,” kata Roszainizam Saring, 49, yang menerima Faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Juruteknik kilang itu adalah suami kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 5, Pekan Umbai, Jalan Melaka-Muar, Jasin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi, semalam, Sariani Mohd Sharif, 44, maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan ketika melintas jalan.

Ketika itu, mangsa dalam perjalanan menghantar jualan kuih dibuatnya bagi membantu keluarga yang menjadi rutin hariannya sejak dua tahun lalu.

Roszainizam berkata, dia terkejut apabila rumah keluarganya di Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam, dikunjungi Pengarah PERKESO negeri, Fadhilah Hamil dan seorang pegawai memaklumkan isterinya layak menerima faedah PERKESO, hari ini.

“Saya langsung tidak sangka arwah isteri masih layak mendapat faedah kerana sudah 18 tahun berhenti kerja kilang pada 2011.

“Selepas mengisi semua dokumen, saya difahamkan arwah yang mula bekerja kilang pada 1993 layak mendapat faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan menerima faedah pencen secara bulanan.

“Duit diterima setiap bulan ini saya akan belanjakan sepenuhnya untuk keperluan enam anak berusia enam hingga 20 tahun,” katanya ketika ditemui di Melaka, hari ini.

Sementara itu, Fadhilah berkata, Roszainizam juga layak menerima tiga daripada lima bahagian daripada jumlah pencen bulanan sepanjang hayatnya.

“Manakala sebahagian lagi pencen iaitu dua daripada lima bahagian adalah hak perlu dikongsi semua anak arwah sehingga mereka berusia 21 tahun,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya waris pencarum supaya menghubungi PERKESO sekiranya berlaku sesuatu kepada pencarum sama ada meninggal dunia atau mengalami kecacatan akibat kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 8:11 PM