MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd
noormhusni@hmetro.com.my

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memaklumkan kerajaan bersedia menambah aset dan kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jika ada keperluan khususnya bagi membanteras isu pencerobohan nelayan warga asing.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mendapati mobilisasi aset dan kapal oleh lain-lain agensi penguatkuasaan dan keselamatan dilihat sudah cukup berkesan untuk membanteras isu pencerobohan itu buat masa ini.

"Keperluan tambah aset dan kapal besar memang ada  tapi saya tidak fikir dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, operasi membanteras pencerobohan nelayan asing yang digerakkan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan sudah cukup berkesan," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya, semalam.

Katanya, Ops Naga yang dilancarkan pada April lalu masih berjalan dengan kerjasama membabitkan empat kementerian dan tujuh agensi penguatkusaan dan keselamatan.

Pada April lalu, Kabinet meluluskan penubuhan satu pasukan petugas khas disertai empat kementerian dan tujuh agensi serta keselamatan bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing warga Vietnam dalam perairan negara.

Pasukan petugas khas itu diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain disertai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA); Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.

Manakala, tujuh agensi penguatkuasa dan keselamatan yang terbabit adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Jabatan Perikanan; Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harian Metro dalam laporan eskslusif baru-baru ini mendedahkan pengakuan orang tengah yang membuka mulut sikap tamak pengusaha bot tempatan memberi manfaat kepada nelayan Vietnam.

Pengakuan itu disokong dengan tinjauan wartawan Skuad Khas Harian Metro yang melihat banyak bot klon di beberapa wilayah di Vietnam.

Bot klon berkenaan bebas menangkap ikan di perairan Malaysia selepas membeli lesen dari tauke nelayan tempatan dengan bayaran RM40,000 hingga RM100,000 selain bayaran  bulanan RM8,000 hingga RM12,000.

Kegiatan ini kebal undang-undang Malaysia dengan bantuan dalang rakyat Vietnam di negara ini dan ‘orang dalam’ pihak berkuasa.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Dewan Rakyat minggu lalu dan ia disentuh oleh 32 Ahli Parlimen.

Mereka antara lain mahu kerajaan bertindak tegas dalam hal ini kerana ia menjejaskan hasil laut negara malah, ada juga yang menyuarakan pendapat supaya aset dan kapal APMM ditambah untuk keperluan operasi dan penguatkuasaan.

Berita berkaitan:

  • Guna senjata jika terpaksa!
  • Ada jadi dalang
  • Nelayan Vietnam 'berlagak samseng' [METROTV]
  • Kekangan aset saiz besar [METROTV]
  • SPRM bertindak jika masalah sistem, salah laku
  • Usah sampai kempunan [METROTV]
  • Isu panas Parlimen [METROTV]
  • Tiada kompromi isu nelayan asing
  • Ops Naga bakal sambut nelayan Vietnam [METROTV]
  • Jawatankuasa kaji hukuman ke atas nelayan asing
  • An Thuan buka rahsia [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 11:11 AM