HANNAH lebih suka untuk tidak terikat dengan hero sama dalam lakonan.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


WALAUPUN baru berusia 23 tahun, dalam karier lakonan bintang muda dari Singapura, Hannah Delisha sudah sinonim dengan watak isteri dan ibu.

Hampir tiga tahun membina nama sebagai pelakon di Malaysia, kebanyakan drama dibintangi Hannah pasti mengaitkannya dengan watak wanita berkahwin dan memiliki keluarga.

Berbicara sejauh mana sebenarnya gadis jelita ini sudah bersedia melangkah ke fasa perkahwinan dalam realiti kehidupan, Hannah berkata, dia seorang yang tidak merancang.

“Saya selesa hidup berdikari. Jadi, untuk soal jodoh terus terang saya tidak pernah terfikir untuk merancangnya. Dengan siapa dan bila akan berkahwin, biar Allah tentukan.

“Saya sentiasa percaya Allah adalah sebaik-baik perancang dalam kehidupan hamba-Nya. Sebagai pelakon, saya akan terus terima watak isteri dan ibu asalkan watak itu sesuai dengan jalan cerita dan boleh melakonkan dengan baik,” katanya.

Hannah mula dikenali di negara ini pada 2017 menerusi drama adaptasi novel Mencintaimu Mr Photographer bersama Syafiq Kyle.

Sudah membintangi kira-kira 10 drama terbitan produksi tempatan, Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch berkata, dia juga selesa bergandingan dengan rakan pelakon lelaki berbeza sebagai heronya.

“Apabila di set penggambaran, saya hanya buat kerja untuk berlakon. Ini kerana saya akan pastikan hubungan dengan rakan pelakon lelaki tidak lebih sehingga di luar lokasi.


HANNAH tak kisah lakonkan watak antagonis.

“Jadi, saya lebih suka dan memilih untuk tidak terikat bergandingan dengan rakan pelakon lelaki yang sama sebagai hero kerana tahu banyak lagi pelakon lain. Sebagaimana gandingan dengan Syafiq, saya tahu masih ada peminat ingin kami terus bekerjasama. Setakat ini, kami sudah buat apa yang peminat mahukan.

“Selepas drama Mencintaimu Mr Photographer, kami teruskan berganding dalam filem Langsuir arahan Osman Ali pula. Jadi, bagi saya itu sudah cukup kerjasama di antara kami.

“Namun, tidak tahulah pada masa akan datang ada kerjasama yang lain. Ikutkan saya, lebih selesa berlakon dengan pelakon lelaki yang berbeza untuk menimba pengalaman dan cara bekerja.

Menurut Hannah, dia juga yakin Syafiq pun mempunyai pandangan sama untuk terus memantapkan karier seni masing-masing di mata peminat.

Bagaimanapun, Hannah menegaskan dia sangat pentingkan skrip dan watak akan diterajuinya untuk diteliti sebelum bersetuju menerima sesuatu tawaran berlakon.

“Jujur diakui, saya sangat suka bermain dengan watak berbanding menonjolkan watak diri sebenar dalam lakonan dipersembahkan.

“Saya sentiasa mencari watak berbeza untuk dilakonkan yang lain daripada watak pernah dibintangi. Justeru, saya tidak kisah untuk melakonkan watak antagonis,” katanya.

Memberitahu tidak gentar lakonan dipersembahkan sebagai antagonis akan dikecam warganet, Hannah berkata, sebagai pelakon ada kalanya dia penat juga kalau selalu disogokkan berlakon watak baik.

TUMPU LAKONAN DAN NYANYIAN

Sebelum namanya melonjak dengan lakonan, Hannah terlebih dulu mengasah bakat sebagai penyanyi menerusi kumpulan duo dikenali Delisha yang dianggotai bersama adiknya, Mia Delisha.

Selepas muncul dengan lagu duo berjudul Retak pada 2015 Hannah mengambil keputusan bergerak secara solo.

Pernah muncul dengan tiga lagu solo iaitu Anugerah, Esok Masih Ada dan Tak Perlu Kata Apa-Apa tahun lalu, kini Hannah dalam perancangan tampil dengan satu lagu terbaharu.

“Alhamdulillah, sejak 2016 sehingga 2018, nampaknya setiap tahun saya berpeluang merakamkan lagu baharu. Untuk 2019 ini, saya akan tampil dengan lagu berkonsep balada.

“Siapa pencipta lagu dan penulis lirik yang akan bekerjasama dengan saya masih dalam perbincangan. Pertemuan pun baru saja dibuat.

“Bagaimanapun, dijangkakan lagu itu dapat siap dirakam dan dilancarkan tahun ini juga. Semoga semua urusan berjalan lancar,” katanya.

Selain nyanyian, Hannah yang aktif berlakon juga kini dalam pertimbangan untuk menerima satu projek berlakon drama dan filem.

Hannah berkata, dia gembira kerana fokusnya untuk karier lakonan dan nyanyian pada tahun ini dapat dilaksana seperti apa diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:00 AM