GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Aktiviti kawalan pekerja asing masih kurang cekap dan tidak dilaksanakan dengan teratur, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018.

Menurutnya, ini terutama mengenai kelulusan kuota, saringan kesihatan Bio-Medical dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

“Terdapat juga kemungkinan berlakunya fraud (penipuan) yang mengakibatkan kehilangan hasil kepada kerajaan Malaysia.

“Kelemahan sistem juga menyebabkan tiada rekod tepat mengenai bakal pekerja asing yang gagal pemeriksaan Fomema dihantar pulang mengakibatkan terdapat risiko penyakit kepada penduduk tempatan,” menurut laporan itu.

Kawalan terhadap pekerja asing terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Setakat Disember 2018, terdapat seramai 1.21 juta pekerja asing yang sah dan aktif bekerja di Semenanjung tidak termasuk Sabah, Sarawak dan pembantu rumah.

Laporan itu turut mendedahkan, bagi tempoh 2016 hingga 2018, seramai 22,901 pekerja asing digajikan dalam sub-sektor beku yang memberi kesan kepada peluang pekerjaan pekerja tempatan.

Selain itu, seramai 41,607 daripada 1.53 juta pekerja asing gagal pemeriksaan kesihatan Fomema walaupun seramai 17,520 orang sudah lulus Bio-Medical di negara sumber.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,197 orang didapati menghidap penyakit Tuberculosis dan 1,752 orang menghidap penyakit Hepatitis B,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, seramai 1,013 pekerja asing gagal pemeriksaan kesihatan FOMEMA telah mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang terdiri daripada 734 orang menghidap penyakit Tuberculosis dan 11 orang menghidap penyakit Hepatitis B.

“Manakala 29,288 orang pekerja asing yang gagal Fomema tetapi tiada pengesahan maklumat sama ada mereka dihantar pulang melalui pengeluaran Check Out Memo (Com),” katanya.

Beberapa syor diberikan oleh pihak audit bagi memastikan pengurusan kawalan pekerja asing dilaksanakan lebih teratur, cekap dan berkesan.

Ini termasuk keperluan KSM mengkaji semula sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) dengan mengadakan insentif lebih menarik bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Katanya, KDN dan KSM perlu mempertimbangkan penggunaan sistem permohonan pekerja asing tunggal dalam pengurusan kawalan pekerja asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:45 AM