Yusri Abdul Malek
Yusrimalek@hmetro.com.my


MAKKAH: Jabal Rahmah, satu bukit berbatu setinggi 70 meter dan memiliki hampir 170 anak tangga adalah lokasi yang sering dilawati jemaah haji jika melawat Arafah, Mina dan Muzdalifah.

Bukit berkenaan yang dikaitkan dengan pertemuan Nabi Adam dan Hawa ketika diturunkan ke bumi sejak berpisah ratusan tahun.

Di atas bukit batu granit itu juga didirikan satu tugu batu setinggi lapan meter dan selebar 1.8 meter bagi mengingati peristiwa kasih sayang itu.

Berikutan itu juga, ramai pengunjung yang datang berdoa agar ditemukan jodoh atau bagi yang sudah berkahwin pula agar cinta mereka seteguh cinta Adam dan Hawa.

Dari atas bukit juga akan jelas kelihatan khemah Arafah yang dibina untuk berwukuf selain pemandangan bukit tandus di sekitarnya.

Jabal Rahmah termasuk dalam kawasan wukuf di Padang Arafah dan sudah pasti pada tarikh 9 Zulhijjah, ia menjadi antara kawasan yang doanya dimakbulkan Allah.


BANYAK pokok kini menghijau di Padang Arafah.

Disebabkan itu, ada jemaah yang sedikit terpesong dengan percaya kawasan itu adalah sesuai untuk mendoakan jodoh masing-masing hingga timbul perbuatan khurafat seperti menulis nama di atas tugu dan batu di kawasan itu malah ada yang mencium batu dengan harapan permintaan mereka dimakbulkan.

Pembimbing Ibadah Haji Tabung Haji Ustaz Zulikfli Ahmad berkata, perbuatan menulis nama atas batu dianggap khurafat dan jemaah haji perlu mengelak daripada berbuat demikian.

Katanya, mendaki dan berada di puncak Jabal Rahmah ini adalah bagi melihat pemandangan sekitar Padang Arafah pada hari wukuf nanti bertujuan memberi gambaran kepada jemaah bagaimana sukar serta kepayahan dilalui Rasulullah dan sahabat ketika mengerjakan haji dahulu.

“Kini kita mengerjakan haji jauh lebih mudah dan senang,” katanya.

Selain itu, lawatan ke Padang Arafah juga satu kemestian, kawasan yang dulu kontang kini menghijau dengan pokok-pokok.


ADA jemaah yang mengerjakan solat sunat dan berdoa di atas Jabal Rahmah.

Kawasan itu menjadi redup dan ini memberi ketenangan kepada jemaah untuk memperbanyakkan zikir dan berdoa sepanjang berada separuh malam di kawasan berkenaan.

Selesai di Arafah, jemaah dibawa ke Muzdalifah untuk berada seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Mina.

Di Mina yang mendapat jolokan daerah Seribu Khemah adalah lokasi jemaah akan bermalam selama tiga hari bagi melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah yang terletak berhampiran.


JEMAAH berehat seketika di kawasan berbatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:40 AM
PEMANDANGAN Padang Arafah dari atas Jabal Rahmah.