RAZALI (kanan) menunjukkan kereta klon dirampas selepas menahan seorang guru lelaki dipercayai menjadi dalang sindiket kereta klon pada sidang media di IPD Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


SEORANG guru lelaki ditahan polis selepas dipercayai menjadi dalang sindiket penjualan kereta klon membabitkan pelbagai model di sekitar daerah Kuala Kangsar.

Guru berkenaan antara lima individu ditahan polis dalam serbuan berasingan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, guru berusia 40 tahun yang bertugas di sekolah rendah di Sungai Siput itu ditahan pada 10.20 pagi Khamis lalu.

Beliau berkata, penahanan guru dipercayai dalang penjualan sindiket kereta klon itu dibuat susulan penahanan dua individu lain iaitu seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan guru wanita dalam sekatan jalan raya pada 5 dan 10 Julai lalu.

“Dalam operasi sekatan jalan raya itu, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dipandu penuntut lelaki dan guru wanita itu didapati kereta klon berdasarkan semakan dijalankan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Hasil soal siasat dijalankan, polis menahan guru lelaki terbabit di rumahnya di Kuala Kangsar dan merampas dua lagi kereta klon Nissan Teana dan Sylphy,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Kangsar, hari ini.

Razali berkata, siasatan dijalankan terhadap suspek kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang masing-masing bekerja sebagai guru dan penjawat awam pada Khamis dan Jumaat lalu.

Beliau berkata, penahanan itu membawa kepada penemuan dua lagi kereta Honda Jazz dan Suzuki Swift di rumah kedua-dua suspek berkenaan di Sungai Siput dan Lenggong.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semua kenderaan dirampas itu dipercayai dibawa masuk dari Singapura dan dijual di negara ini dengan harga antara RM3,800 hingga RM10,000.

“Semua suspek ditahan berusia antara 21 hingga 41 tahun itu kini sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas soal siasat dijalankan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 7(1), Seksyen 108(3)(e) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:16 PM