VIDEO perkahwinan pasangan remaja itu tular di media sosial Indonesia. - Agensi
Agensi

PALEMBANG: Ketua kampung di wilayah Banyuasin, Sumatera Selatan, mengesahkan dua remaja yang masih bersekolah menengah berkahwin selepas video majlis perkahwinan dua pelajar itu tular di media sosial Indonesia sejak Jumaat lalu.

Kompas melaporkan, ketua kampung Ngulak di Musi Banyuasin, Rusmin berkata, perkahwinan itu berlangsung Khamis lalu.

“Benar, pernikahan itu kelmarin. Saya mengunjungi keluarga pengantin untuk mengetahui cerita sebenar selepas mengetahuinya melalui media sosial,” kata Rusmin yang dihubungi Kompas Sabtu lalu.

Menurutnya, kedua-dua pengantin itu berusia 14 tahun dan masih bersekolah tetapi tinggal di perkampungan berlainan.

“Mereka berkahwin tanpa paksaan keluarga, sememangnya mereka sendiri mahu berkahwin, sama-sama cinta,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa pengantin terbabit datang ke pejabatnya untuk memohon surat kebenaran kahwin namun ketika itu dia tiada menyebabkan setiausahanya tidak mengeluarkan surat terbabit kerana pasangan masih bawah umur.

“Mereka kemudian ke Pejabat Urusan Agama dan saya tidak tahu hasilnya, cuma yang pasti pasangan itu kemudiannya berkahwin. Sejak menjadi lurah (ketua kampung) di sini, belum pernah terjadi pernikahan cilik,” kata Rusmin.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Musi Banyuasin menyatakan pihaknya akan menyiasat kejadian itu.

“Undang-undang menetapkan umur minimum perempuan untuk berkahwin ialah 16 tahun dan 19 tahun bagi lelaki,” kata jurucakapnya, Herryandi Sinulingga.

Video perkahwinan pasangan remaja itu disiarkan melalui akaun Instagram @Sumselreceh menunjukkan sesi bergambar pasangan pengantin disaksikan orang ramai.

Berdasarkan maklumat pada akaun instagram @Sumselreceh itu, pasangan pengantin terbabit masih bersekolah dan bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:10 AM