STACY puas dengan lagu ciptaan suami, yakin dengan rentak muzik baru.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KEMUNCULAN single Khayal nyanyian Stacy mengukuhkan lagi jenama dirinya yang dibina sejak 11 tahun lalu. Malah, sambutan luar biasa lagu ciptaan suaminya sendiri, Akim Ahmad yang menggunakan nama pena Hang Nadim itu bukti Stacy masih berbisa dan kekal di kelas tersendiri.

Meskipun lagu baru itu bukan seperti kebanyakan lagu yang pernah dilancarkan sebelum ini, apa yang ingin disampaikan Stacy ia adalah muzik dan bunyi baru daripadanya.

Bagi Stacy, 29, sudah tiba masanya dia mencuba sesuatu yang berbeza, sekali gus menjadi identiti baru dalam muzik yang dibawa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sambutan diterima dan tidak menjangka ia boleh diterima secepat ini. Pada awalnya saya fikir peminat sudah melupakan saya sebab sudah lama tidak keluar lagu baru. Sebaliknya, mereka masih ada bersama saya.

“Lagi satu, status berkahwin dan mempunyai dua anak memungkinkan mereka sudah tidak mahu mendengar muzik saya. Jadi, saya tidak mahu terlalu berharap. Namun, apabila ia diterima baik, saya gembira dan yakin dengan muzik dan bunyi baru yang diketengahkan kali ini,” katanya.


STACY gian tulis lirik.

Stacy yang sebelum ini mempertaruhkan single Raja mengakui puas apabila terhasilnya lagu itu. Malah, perasaan itu dapat dirasai ketika proses menghasilkan lirik.

Pada masa sama, keyakinan Stacy terhadap lagu itu turut diterjemahkan menerusi penghasilan muzik video yang dijangka dilancarkan pada 19 Julai ini.

Meskipun Khayal masih berpaksikan muzik pop dansa, ia tetap membawakan kelainan susunan muzik yang disuntik elemen ‘trap music’ dan alunan melodi ‘EDM synth’ memberikan bunyi unik kepada lagu ini.

“Perasaan bercampur baur ketika saya dan suami buat lagu ini. Dari awal mendengar melodi lagi saya berasakan lagu ini sedap. Itu sebab saya puas menulis lirik. Biarpun perlu melalui proses penambahbaikan tetapi saya suka.

“Saya dan suami tak banyak masa nak hasilkan lagu ini. Apatah lagi muzik sebegini bukan genre Akim. Jadi, saya berikan idea dan kami berkongsi mana yang sesuai. Dalam erti kata lain, gabungan idea kami membawa kepada melodi yang menyentuh hati dengan diselitkan eleman segar.

“Lagi satu, kelainan yang paling ketara dalam lagu ini adalah persembahan vokal dan penghayatan saya. Kali ini, vokal saya lebih memberikan penekanan kepada ‘feel’ feminin dan beremosi,” katanya.

Menurut Stacy, lagu bergenre pop EDM itu akan dikekalkan bagi single akan datang.

“Saya nak mengumpul pengikut baru daripada genre ini. Ada hikmah di sebalik rintangan saya nak menghasilkan lagu hinggalah ia dapat dilancarkan Jumaat lalu.

“Bagi saya, lagu ini sangat istimewa dari segi muzik, bunyi dan lirik. Kiranya, ini adalah bunyi lagu saya yang baru dan nak kekal dalam single akan datang. Gaya nyanyian dan persembahan masih sama tetapi bunyi muzik sahaja berbeza.

“Kalau dulu saya serasi bersama Edry, sekarang saya sudah jumpa komposer baru yang boleh membawa nafas baru dalam muzik saya iaitu suami sendiri. Mungkin sebab kami banyak masa bersama, jadi dia dapat belajar sedikit demi sedikit,” katanya.

GIAN TULIS LIRIK

Khayal adalah lirik kedua tulisan Stacy selepas mencuri perhatian menerusi lagu hit Rampas yang dipopularkan kumpulan Akim & The Majistret.

Pertama kali menyampaikan sendiri karya ciptaan dan tulisannya, Stacy menyifatkan lagu Khayal sebagai karya yang paling istimewa buat dirinya dan berterima kasih kepada suami tercinta atas dorongan diberikan.

“Saya amat berterima kasih kepada suami kerana selalu memberi dorongan dan sokongan dalam menghasilkan sesebuah lagu serta menjadi mentor untuk saya dalam berkarya.

“Akim sentiasa berkongsi ilmu supaya saya lebih faham cara penghasilan sebuah lagu dan sekali gus menggunakan pengalaman 11 tahun saya dalam karier seni bagi menghasilkan lagu Khayal.

“Walaupun sepanjang proses itu dia lebih banyak mengkritik dan setiap tegurannya ‘pedas’, ia cukup membantu. Dia bimbing saya supaya tidak mengikut gaya tulisannya. Dia mahu saya ada identiti sendiri.

“Pengisian yang diberi adalah elakkan menulis lagu cinta dari awal sampai habis. Katanya, dalam muzik tak ada benda yang nyata. Sebab sebagai artis memang kena berfantasi untuk tunjuk kepada orang,” katanya yang ingin belajar menulis lagu pula.


STACY rancang keluarga.

MERANCANG KELUARGA

Berkongsi mengenai sisi peribadi pula, Stacy berkata, buat masa sekarang dia dan suami belum ada perancangan menambah cahaya mata.

“Soal tambah anak, kami sudah bincang buat masa sekarang belum lagi. Kalau boleh biarlah anak kedua besar sikit. Kami tidak mahu terlepas fokus kepada dua anak.

“Namun, dalam soal ini kami hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Kalau ada rezeki, kami tak menolak kerana ia adalah kurniaan dan amanat Allah SWT,” katanya.

Perkembangan lain, Stacy dipilih menjadi mentor pada program Mentor Milenia musim terbaru yang bakal ber siaran di TV3 tidak lama lagi.

Menariknya, Stacy akan bertanding menentang suami sendiri di samping beberapa mentor lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:00 AM