LUQMAN sentiasa berhati-hati dalam tindakan elak terpalit kontroversi di laman sosial. FOTO: Saifullizan Tamadi
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYEBARAN video dan gambar mirip beberapa artis lelaki sejak kebelakangan ini ibarat ‘trend’ baru dalam dunia hiburan tempatan.

Perkara itu bukan sahaja membuka mata banyak pihak tetapi turut mengundang ketakutan dan kebimbangan dalam diri masing-masing.

Meskipun setakat ini tidak ada seorang pun yang mengakui kesahihan video dan gambar itu, sedikit sebanyak ia memberikan persepsi negatif dalam kalangan peminat.

Hal sama dilalui pelakon Luqman Hafidz yang mengakui bimbang sekiranya terpalit dengan kontroversi sama.

Luqman, 28, atau nama sebenarnya Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi berkata, dia yakin dirinya bersih daripada melakukan perkara itu.

“Alhamdulillah, saya yakin saya bersih daripada perkara ini. Malah, jauh sekali dan tidak terfikir pun nak melakukan perkara pelik.

“Sejujurnya, apabila mendengar dan membaca kisah beberapa rakan artis yang terpalit kontroversi ini, saya pun jadi takut. Ini kerana zaman sekarang apa sahaja boleh berlaku.

“Cuma, saya bertuah dan bersyukur kerana dikelilingi orang yang baik-baik serta keluarga yang sentiasa menasihati dan mengingatkan,” katanya.

Antara artis yang menjadi mangsa kontroversi penyebaran video dan gambar seperti itu ialah Aiman Tino, Syafiq Kyle, Ammar Alfian, Idris Khan, PU Rizz dan Ismail Izzani.

Dalam pada itu, pelakon drama Dia Yang Ku Cinta ini sentiasa berhati-hati dalam setiap apa yang dilakukan.

Luqman berkata, dia akan meminta nasihat daripada pihak pengurusannya sekiranya menghadapi apa juga masalah.

“Saya berharap tidak akan terbabit dengan kontroversi sepanjang dalam karier seni ini. Minta jauh sangat.

“Benda macam ini susah nak halang tetapi saya memang sentiasa berhati-hati dengan apa yang nak dilakukan. Orang kata kena fikir sebelum membuat sesuatu. Jangan sudah terkena baru nak fikir.

“Bagi saya, biarlah kekal berada dalam kelompok yang kecil tetapi boleh dipercayai. Ia lebih selamat sebab kita tahu siapa bersama kita. Berbanding sebaliknya. Kalau ada masalah pun, saya akan terus bertanya kepada pihak pengurusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:30 AM