JETI pendaratan ikan di Kompleks LKIM Tok Bali dikuasai bot asing dari Vietnam dan Thailand menyebabkan pemilik bot tempatan mengalami kerugian lebih 50 peratus sejak tiga tahun lalu.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


PASIR PUTEH: Jeti pendaratan ikan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali di sini, dikuasai bot Vietnam dan Thailand menyebabkan pemilik bot tempatan mengalami kerugian lebih 50 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Difahamkan, daripada lebih 50 bot laut dalam, hanya 15 bot milik pengusaha tempatan dan sebahagian besar nelayan tempatan hanya memiliki bot pukat tunda.

Tinjauan Harian Metro di Pelabuhan LKIM Tok Bali dan sekitar kawasan itu mendapati, lokasi terbabit menjadi tumpuan nelayan Vietnam, Thailand dan Myanmar.

Pengusaha Bot Laut Dalam jenis C0, Mat Hussin Salleh, 50, berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, hasil tangkapan merosot lebih 50 peratus berikutan kekurangan ikan dan habitat laut disebabkan pencerobohan nelayan asing terutama Vietnam.

Katanya, nelayan Vietnam juga mengganggu unjang ikan nelayan tempatan selain mencuri hasil di kawasan itu.

“Unjang yang dibuat nelayan kita dirosakkan oleh nelayan warga asing ketika kita berada di daratan. Apabila mahu menangkap ikan di kawasan itu, kita dapati unjang rosak.

“Perkara ini kerap berlaku kerana nelayan asing ini tidak takut kepada kita. Mereka juga menggunakan pukat tunda ganding untuk menangkap ikan yang boleh merosakkan habitat laut yang lain.

“Ini menyebabkan hasil tangkapan kami merosot lebih 50 peratus sedangkan pada masa sama, kami perlu membayar gaji pekerja termasuk tekong dan awak-awak,” katanya ditemui di Pelabuhan LKIM Tok Bali, semalam.

Mat Hussin yang berpengalaman mengusahakan bot laut dalam selama 20 tahun berkata, sebelum ini, dia memiliki empat bot, namun kini hanya memiliki sebuah saja akibat kekurangan hasil tangkapan.

Pemilik Bot Pukat Tunda, Azrul Ariffin, 28, berkata, sebagai pengusaha bot sederhana, dia terkesan dengan hasil tangkapan yang sangat sedikit.

Katanya, jika sebelum ini dia mampu memperoleh hasil tangkapan yang banyak mencecah RM30,000 dalam tempoh seminggu turun ke laut, namun dalam masa tiga tahun ini, dia hanya memperoleh kurang RM15,000 bagi tempoh sama.

“Kekurangan ini kerana hasil tangkapan tidak banyak disebabkan pencerobohan nelayan asing.

“Namun, ini saja kerja yang saya mampu lakukan, malah saya turut menggaji enam nelayan tempatan,” katanya.

Menurutnya, sejak awal tahun ini, dia melihat penguatkuasaan oleh pihak berkuasa lebih ketat di mana banyak bot nelayan asing ditahan.

Bagaimanapun, katanya, Pelabuhan LKIM Tok Bali masih dikuasai nelayan asing.

“Saya menyokong usaha pihak berkuasa yang membuat operasi besar-besaran untuk menangani penguasaan nelayan asing di sekitar Tok Bali dan seluruh negara,” katanya.

BIAWAK PUN KENA KEBAS

KUALA TERENGGANU: Bukan setakat mengaut hasil laut secara haram, malah nelayan dan awak-awak warga Vietnam turut membawa pulang biawak ditangkap di kampung sekitar daerah ini untuk dijual kepada bangsawan di negara mereka.

Nelayan tempatan, Tengku Ibhrahim Tengku Husin, 67, berkata, berdasarkan pemerhatian warga tempatan, ia dilakukan nelayan dan awak-awak yang keluar daripada Jeti Pelabuhan Chendering di sini.

“Warga Vietnam ini sepatutnya tidak boleh keluar dari kawasan jeti. Bagaimanapun, ketika berlabuh, mereka ambil kesempatan untuk keluar ke kampung serta hutan untuk menangkap biawak.

“Biawak ditangkap dijual di negara mereka kerana harga haiwan terbabit mahal dan ia menjadi makanan orang kaya serta bangsawan di Vietnam,” katanya.

Tengku Ibhrahim berkata, dia serta warga tempatan lain berharap tindakan dapat diambil oleh pihak berkuasa bagi memantau pergerakan warga Vietnam ini.

BEBAS MASUK KAMPUNG

PASIR PUTEH: Nelayan Vietnam bukan saja menjarah hasil laut negara secara haram malah turut bebas bergerak di sekitar Tok Bali.

Sebaik mendarat di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tok Bali, mereka masuk ke kampung berdekatan untuk membeli makanan di kedai runcit dan kedai makan.

Mereka akan berjalan secara berkumpulan melebihi dua orang pada waktu tertentu seperti tengah hari dan ia lebih meriah menjelang jam 6 petang hingga waktu malam.

Namun, hasil penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, jumlah yang melakukannya berkurangan.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, nelayan asing terutama Vietnam akan keluar daripada bot mereka di Pelabuhan LKIM Tok Bali pada waktu tengah hari dan sekitar jam 6 petang sehingga malam untuk membeli makanan.

Katanya, mereka akan membelinya di kedai runcit dan makanan di kedai berdekatan pelabuhan.

“Namun, hasil operasi yang kita jalankan, jumlah mereka semakin berkurangan. Mereka juga bimbang ditahan dan dikenakan tindakan.

“Sejak Januari hingga Selasa lalu, kita sudah menahan lapan bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara menerusi Op Naga dengan hasil rampasan keseluruhan bernilai RM2.15 juta,” katanya dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 10:00 AM