YONG (dua dari kiri) tiba di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong tidak akan bercuti daripada menjalankan tugasnya sepanjang siasatan dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapinya.

Yong berpegang kepada pendirian itu kerana tidak tahu berapa lama siasatan akan dijalankan dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menasihatkannya agar bercuti jika siasatan kes berkenaan berlanjutan dalam satu jangka masa yang panjang hanya nasihat dan bukan memintanya bercuti.

“Saya sudah baca kenyataan dibuat Menteri Besar, ia sebenarnya bukan meminta saya mengambil cuti, apa maksud beliau jika kes ini berlanjutan lama, mungkin dia nasihatkan saya rehat buat seketika.

“Kita pun tidak tahu kes ini boleh berlanjutan berapa lama jika betul berlanjutan lama mungkin dia akan nasihatkan saya dan buat masa ini saya tiada apa-apa (kesalahan) mengapa saya tidak perlu kerja,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa dia tidak boleh bekerja sedangkan masih memegang jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa dan setakat ini, tuduhan jenayah terhadapnya belum didakwa di mahkamah.

“Kita hidup dalam dunia ini seseorang itu boleh buat tuduhan kepada sesiapa pun, tetapi tuduhan itu kena berasas.

“Dalam hal ini saya nafi sekeras-kerasnya kerana saya tidak pernah buat apa-apa (rogol) dan saya percaya polis sedang buat siasatan maka saya tidak boleh komen apa-apa,” katanya.

Jelasnya, dia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan percaya dengan kepakaran serta profesionalisme polis.

“Masa akan buktikan segala-galanya betul, tak itu saja, bersalah atau tidak itu saja keputusannya kelak,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah agar Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri ditunda berpunca daripada tuduhan dihadapinya, beliau berpendapat ia tiada kaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 6:30 AM