BUNGKUSAN kecil yang mengandungi kura-kura.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Berat hanyalah sekitar 30 gram namun kura-kura spesies Indian star tortoise mampu mencecah AS$1,500 (RM6,150) seekor di pasaran gelap.

Harga luar biasa selain permintaan tinggi dalam kalangan peminat hidupan eksotik menyebabkan spesies reptilia berasal dari India dan Bangladesh ini kerap diseludup masuk ke negara ini.

Sumber berkata, negara ini dijadikan transit sindiket menyeludup masuk kura-kura dari luar negara.

Menurutnya, dalam kes terbaru kelmarin, seorang lelaki tempatan ditahan selepas menyeludup kura-kura bernilai hampir RM2 juta.

“Suspek berusia 28 tahun dan berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu ditahan jam 4 petang sebaik tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pegawai Perhilitan yang terlebih dahulu sudah menjalankan risikan dan menerima maklumat berhubung penyeludupan hidupan liar bertindak menahan suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek membawa dua beg bagasi sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap kandungan beg itu.


KURA-KURA spesies Indian roofed turtle.

“Pemeriksaan pada beg pertama menemui 152 ekor kura-kura spesies Indian star tortoise yang masih hidup dan diisi di dalam kotak.

“Turut ditemui 170 ekor kura-kura disyaki spesies Indian roofed turtle selain tiga ekor disyaki spesies Indian eyed turtle. Semua kura-kura itu dianggarkan bernilai hampir RM2 juta berdasarkan harga pasaran gelap,” katanya.

Menurutnya, suspek dibawa ke Balai Polis Sepang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Menurutnya, setiap seekor kura-kura spesies Indian star tortoise dan Indian roofed turtle boleh mencecah RM6,000 seekor apatah lagi ia mendapat permintaan tinggi di China dan Hong Kong.

Kejayaan itu adalah rampasan terbaru selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 330 ekor kura-kura jenis Ploughshare dan Indian Star bernilai RM1.2 juta pada 15 Mei lalu.

Difahamkan sepasukan anggota dari bahagian penguatkuasaan jabatan itu memeriksa Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA dan menemui lima kotak yang mengandungi haiwan eksotik itu.

Kotak yang dirampas itu dibawa menggunakan penerbangan Etihad Airways dari Lapangan Terbang Antananarivo, Madagascar ke KLIA.

Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati terdapat lima ekor kura-kura jenis Ploughshare dan 325 kura-kura Indian Star yang bernilai RM1.2 juta.

Selain itu JKDM turut berjaya menahan dua lelaki warga India yang cuba menjadikan negara ini sebagai transit bagi kegiatan penyeludupan anak kura-kura pada 26 Jun lalu.

Hasil tangkapan itu, sebanyak 5,255 anak kura-kura jenis Red Ear Slider dengan anggaran nilai RM52,550 berjaya dirampas pihak berkuasa berkenaan.

Kedua-dua lelaki terbabit tiba dari Guangzhou, China pada 20 Jun lalu sebelum ditahan di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa (klia2).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 6:00 AM