ERRA Fazira tidak kecewa dengan apa yang berlaku. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“KAMI sudah tiada hubungan istimewa dan kini membawa haluan masing-masing sejak enam bulan lalu,” kata pelakon popular Erra Fazira ketika mengulas sejauh mana hubungannya dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir Zawawi ketika ini.

Menurut Erra, 45, dia juga sudah lama tidak bertemu dengan Shahir dan kali terakhir ialah pada awal tahun ini.

“Sebenarnya, saya juga sudah ‘move on’. Maklumlah, kami sudah empat tahun dan saya juga sudah matang serta waras untuk berfikir.

“Saya tidak kecewa dengan apa yang berlaku kerana percaya perancangan Allah SWT lebih baik,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi filem Wangi di Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia masih berkawan dengan Shahir tetapi ia sekadar hubungan rakan seperjuangan dalam bidang seni.

“Kami tidak bergaduh pun dan masih berhubung menerusi telefon untuk bertanya khabar,” katanya.

Mengulas soal jodoh pula, dia lebih suka mengikut arus.

“Soal jodoh, saya lebih suka serahkan pada yang diatur Allah.

“Kalau ada jodoh, saya terima dan jika tidak teruskan kehidupan bersama anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:02 PM