MOHD Nazir bersama Nissan Serena C23 2.0cc tahun 1997.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


SELANGOR: Minat mendalam terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard mendorong Mohd Nazir Mohd Kassim, 48, mengubah suai Nissan Serena C23 keluaran 1997 miliknya supaya mirip dengan kenderaan terbabit.

Katanya, dia membelanjakan hampir RM10,000 wang simpanannya untuk melakukan pengubahsuaian berkenaan.

“Nissan Serena C23 ini adalah model pertama dalam kelasnya dan saya melakukan kira-kira 80 peratus pengubahsuaian bagi menjadikannya mirip Toyota Alphard.

“Saya beli Nissan Serena terpakai ini pada 2000 dan pengubahsuaian pula banyak membabitkan aksesori kenderaan,” katanya.

Menurut Mohd Nazir, dia menambah bampar depan dan belakang menggunakan bampar Toyota Ipsum.


MOHD Nazir bangga memandu kenderaannya.

“Pemasangan pelbagai aksesori lain seperti rim aloi bersaiz 18 inci menjadikan Nissan Serena C23 ini lebih bergaya,” katanya.

Menurutnya, pengubahsuaian paling ketara adalah melalui pemasangan tingkap pada bumbung untuk menambah elemen mewah.

Bahagian asal MPV ini yang masih kekal ialah pintu dan bonet depan. Ia bagi mengekalkan sebahagian ciri asalnya.

Bertugas sebagai Juruteknik dan Logistik Proton memberi kelebihan kepada Mohd Nazir dalam penjagaan dan penyelenggaraan enjin bagi memastikan Nissan Serena C23 itu sentiasa dalam keadaan baik.

“Walaupun sudah berusia 22 tahun, MPV ini masih gagah untuk menempuh perjalanan jauh seperti ke Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor.

“Untuk kerosakan kecil, saya akan baikinya sendiri namun jika membabitkan kerosakan besar, saya menghantarnya ke bengkel membaiki kenderaan,” katanya.

Menurut Mohd Nazir yang menetap di Sijangkang, Kuala Langat, MPV berkenaan sering mencuri tumpuan ramai malah ada yang bergambar.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia tidak berhasrat menjual Nissan Serena berkenaan kerana ia untuk kegunaan keluarga selain faktor kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:01 AM