Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


PENGGUNA e-hailing bakal berdepan masalah kenaikan kadar tambang khususnya pada waktu puncak dan tempoh menunggu lebih lama berikutan penguatkuasaan peraturan baharu perkhidmatan itu mulai esok.

Pelaksanaan peraturan Program Khas Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) juga akan menyebabkan berlakunya kekurangan pemandu e-hailing terutama yang menawarkan perkhidmatan secara sambilan.

Grab menerusi laman webnya memberi peringatan kepada pengguna untuk bersiap sedia dengan situasi itu dengan meminta mereka merancang perjalanan dan pilihan pengangkutan dengan baik.

Menerusi peraturan baharu itu, rakan pemandu Grab akan berdepan proses ketat untuk memenuhi syarat ditetapkan.

“Antara prosedur itu termasuklah semakan latar belakang, enam jam latihan memandu, ujian pemanduan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemeriksaan kereta oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Grab turut memberi panduan kepada pengguna yang bakal berdepan dengan kesan peraturan berkenaan.

“Potensi kekurangan pemandu di jalan raya akan berlaku dan kami jangka ia memberi kesan kepada pengguna.

“Justeru kami cadangkan untuk anda merancang perjalanan dengan menempah lebih awal dari biasa dan tempahan bukan pada waktu puncak.

“Tempah awal dan bersedia dengan kehadiran pemandu terutamanya apabila anda ada penerbangan atau urusan penting untuk diselesaikan.

“Waktu puncak ialah dari 7 hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam,” katanya.

Grab turut menyatakan pengguna berdepan dengan kenaikan tambang secara dinamik khususnya ketika waktu puncak dan hujan.

“Kami peka dan memahami kesukaran pengguna apabila berdepan dengan tambang tinggi tetapi hal itu berlaku disebabkan kekurangan pemandu di jalan raya,” katanya.

Mengulas mengenai kekurangan pemandu disebabkan tidak memperoleh lesen e-hailing lebih awal, Grab menjelaskan proses itu hanya bermula April lalu meskipun perancangan diumumkan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 3:56 PM