AZMAN ketika sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.
Ibrahim Isa dan Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Adakah janji akan ditepati? Ini berikutan hanya 44 daripada 250 kilang kimia di sekitar Pasir Gudang menyatakan persetujuan menjadikan sekolah di kawasan pencemaran sebagai sekolah angkat mereka manakala baki kilang lain masih berbincang dengan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor Azman Adnan berkata, ia adalah statistik berakhir kelmarin namun pihaknya yakin kemungkinan lebih banyak kilang akan tampil berikutan rundingan dengan pihak berkuasa masih berjalan.

Katanya, buat masa ini semua 111 alat pengukur bacaan udara atau Volatile Organic Compund (VOC) disewa Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan diagihkan kepada semua 111 sekolah di Pasir Gudang.

“Saya difahamkan, semua alat VOC itu disewa hingga 13 Julai ini memandangkan masih ada beberapa kes berulang dan cara penggunaan peranti ditunjukkan pegawai Jabatan Alam Sekitar (Jas) kepada guru yang dipertanggungjawabkan.

“Penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab agensi yang menyewa alat berkenaan dan pada masa sama, pelbagai agensi berkaitan berusaha memastikan kilang kimia di sekitar Pasir Gudang menyertai program sekolah angkat.

“Kami sendiri di pihak jabatan (JPN) berharap alat VOC itu dibekalkan secara kekal di sekolah bagi membolehkan guru memantau tahap kualiti udara, sekali gus membantu pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat keputusan dengan cepat sama ada meneruskan pembelajaran atau tidak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, walaupun masih di peringkat perbincangan dia difahamkan hampir semua pengurusan kilang memberikan jawapan positif dengan kebanyakan kilang sudah bersetuju secara lisan untuk menanggung kos pembelian alat itu.

Katanya, bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu diteliti terutama dari segi penyelenggaraan alat, piawaiannya serta rutin latihan penggunaan alat.

“Perbincangan lebih lanjut perlu dijalankan dari masa ke semasa membabitkan pengurusan sekolah, PPD, JPN, Jas dan pihak penyumbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 6:30 AM