Mangsa lemas, Muhammad Fariz Mikhail (kiri) dan Muhamad Sayyaf. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


DUA kanak-kanak lelaki berusia lapan dan sembilan tahun lemas selepas tergelincir ketika menangkap ikan di tali air Sungai Pulau di belakang rumah nenek mereka di Kampung Jelempok, Arau hari ini.

Mangsa, Muhamad Sayyaf Muhamad Zaki, 8, dan sepupunya, Muhammad Fariz Mikhail Mohd Faizal, 9, dijumpai di dasar sungai selepas penduduk menyelam mencari mereka di sungai terbabit.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata,

pihaknya menerima laporan orang awam pada 6.50 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi.

“Berdasarkan keterangan nenek mangsa yang berusia 63 tahun, kedua-duanya pergi menangkap ikan namun tidak pulang seperti kebiasaannya.

“Nenek mangsa keluar ke belakang rumah dan menemui basikal mereka berdua berdekatan tali air namun kelibat kedua-duanya tidak kelihatan.

“Bimbang sesuatu berlaku ke atas mangsa berdua, nenek mereka meminta bantuan penduduk kampung supaya menyelam ke dasar sungai bagi mencari mereka,” katanya ketika dihubungi.

Nanda berkata, kedua-duanya ditemui kira-kira 10 minit selepas penduduk menyelam ke dasar sungai.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat malam ini,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 11:21 PM