GAMBAR wanita warga emas berjalan seorang diri dalam keadaan bongkok tular di laman sosial kerana disangka makhluk halus.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) mengesahkan wanita warga emas yang berjalan dalam keadaan bongkok di dalam wad adalah pesakit di hospital di negeri berkenaan, bukannya entiti atau makhluk halus seperti tular di laman sosial sejak semalam.

Penjelasan itu diberikan di ruangan komen sebuah akaun Facebook dipercayai memuat naik gambar wanita warga emas itu.

Menerusi kenyataan JKNS turut memohon jasa baik pemilik akaun berkenaan supaya memadam hantaran yang dimuat naik bagi menjaga privasi pesakit dan waris serta mengelak salah tanggapan oleh warganet.

Berdasarkan semakan Harian Metro, pemilik akaun terbabit sudah membuat permohonan maaf berhubung kesilapan dan salah faham yang berlaku menerusi satu hantaran selepas memadam gambar dimuat naik, malam tadi.


JKNS memberi penjelasan di ruangan komen sebuah akaun FB yang memuat naik gambar wanita warga emas di dalam wad hospital di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, gambar berkenaan masih belum dipadam di sebuah akaun Twitter dan mendapat lebih 5,200 ulang ciap dan 3,400 tanda suka setakat 9 malam ini.

Rata-rata warganet yang meninggalkan komen di akaun berkenaan tidak bersetuju dengan tindakan individu bertindak menyebarkan gambar berkenaan kerana simpati dengan warga emas terbabit.

Warganet turut menuntut pemilik akaun terbabit memadam gambar itu yang dianggap mengaibkan.

Terdahulu, tular di laman sosial mengenai gambar seorang wanita warga emas berjalan seorang diri di wad pada awal pagi hingga ramai membuat andaian awal bahawa ia adalah makhluk halus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 9:28 PM