Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Laporan eksklusif Harian Metro semalam mendapat perhatian ahli Yang Berhormat apabila mereka mengaitkan isu pencerobohan nelayan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, di sini.

Isu itu menjadi tumpuan selepas Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengangkat dan menunjukkan laporan muka depan akhbar ini ketika mencelah sesi perbahasan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Dr Azman adalah pembahas pertama daripada 36 wakil yang membahaskan Rang Undang- Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bacaan kedua.

Mohd Shahar meminta kementerian menjelaskan isu yang didedahkan Skuad Khas Harian Metro.

Beliau memuji pendedahan akhbar ini yang disifatkannya sebagai mengambil risiko untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku dan membela nasib nelayan.

“Saya bangun pagi ini dan lihat Harian Metro. Saya menyanjung tinggi usaha Skuad Khas Harian Metro yang sanggup menggadai nyawa membongkar mengenai isu yang amat jelas.

“Bagaimana boleh ada dua kapal menggunakan pendaftaran yang sama. Jadi semua ini perlu disiasat menteri,” katanya.

Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) pula mempersoalkan apakah benar wujud campur tangan pihak ketiga selain agensi berwajib alam isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Beliau turut mengikuti laporan Harian Metro mengenai isu terbabit dan meminta kerajaan menyediakan dana untuk nelayan membeli bot baru.

Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid juga menyentuh pembongkaran isu ini menerusi laporan Harian Metro dan berharap tindakan tegas tanpa kompromi diambil ke atas pihak bertanggungjawab.

“Sejauh mana pemantauan vesel akan diambil kerana penguatkuasaan dilihat semakin lemah hari ini. Saya ingin tahu juga penggunaan teknologi terkini untuk mencegah pencerobohan,” katanya.

Isu berkenaan turut disentuh Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman yang meminta tindakan segera diambil kerajaan bagi mengelakkan hasil nelayan tempatan terjejas.

“Apa yang dilaporkan Harian Metro ini sangat serius kerana menjarah hasil nelayan tempatan. Mohon pertimbangan Yang Berhormat Menteri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mencadangkan agar kerajaan mengenakan denda maksimum termasuk menembak kapal asing yang begitu mudah mengaut hasil negara.

“Tangkap pencuri ini mulai hari ini,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Mohamed mengesyorkan lebih banyak Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) diperuntukkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing.

“Saya dimaklumkan aset rondaan kita berada dalam keadaan selenggara tidak memuaskan. Aset rondaan perlu diselenggara dengan baik dan cepat supaya operasi dijalankan tidak terganggu.

“Selain itu saya ingin mendapatkan penjelasan berapakah jumlah sebenar kapal peronda APMM pada hari ini dalam keadaan siap siaga boleh digerakkan bagi tangani masalah yang berlaku sekarang?” katanya.

Tambah beliau, agensi penguat kuasa perlu dibekalkan dengan aset berteknologi tinggi seperti OPV untuk memperluaskan aktiviti penguatkuasaan.

“Difahamkan kapal ini banyak memberikan kejayaan sebagai contoh KM Pekan di Terengganu setiap hari dapat tahan enam buah kapal nelayan, satu pencapaian yang amat saya puji.

“Malah, peruntukan selenggara lebih banyak untuk membolehkan mereka beroperasi dari 70 ke 200 batu nautika.


TINJAUAN Skuad Khas Harian Metro di Pasar Basah Cho Ca Con Cha.

“Kerajaan perlu sediakan mothership (kapal induk) untuk APMM supaya mereka boleh berada di perairan kita,” katanya.

Sesi berkenaan juga mendapat reaksi sama daripada wakil rakyat lain yang mencelah termasuk Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (PH-Mersing) yang mengesyorkan cadangan kolaborasi dan perbincangan tentang isu ini dengan semua negara Asean.

Kebanyakan wakil rakyat yang membahas juga menyokong tindakan tegas diambil untuk mengatasi isu pencerobohan nelayan Vietnam.

Harian Metro dalam laporan eksklusif semalam mendedahkan pengakuan orang tengah yang membuka mulut sikap tamak pengusaha bot tempatan memberi manfaat kepada nelayan Vietnam.

Ikan Malaysia di Cho Ca Con Cha

PHAN TIET (VIETNAM): “Ini ikan dari Malaysia,” demikian pengakuan selamba seorang kru bot nelayan Vietnam yang baru mendaratkan hasil laut di pasar basah Cho Ca Con Cha di sini.

Pengakuan kru bot mengejutkan wartawan yang baru selesai melakukan tinjauan di pasar berkenaan sejak jam 5 pagi, iaitu pada hari kedua dalam misi mencari bukti dan menjejak aktiviti pencerobohan serta kecurian hasil laut Malaysia oleh nelayan Vietnam.

Dengan bantuan warga tempatan, wartawan menghampiri kru bot terbabit sebelum bersembang secara santai bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai aktiviti pencerobohan berlaku.

“Saya bawa ikan Malaysia, bot lain (yang mendarat) ada dari Thailand,” katanya ketika menerangkan lokasi penangkapan ikan akan ditentukan oleh tauke (pemilik) bot manakala kru kapal sepertinya hanya mengikut haluan tekong saja.

Katanya, agihan jualan hasil laut adalah 40 peratus kepada pemilik bot, 30 peratus tekong dan 30 peratus lagi dibahagikan dalam kalangan kru.

Pemerhatian wartawan mendapati lokasi pasar Cho Ca Con Cha amat strategik kerana terletak bersebelahan jeti pendaratan ikan.

Wartawan menghabiskan masa selama tiga jam di lokasi berkenaan yang dianggarkan berkeluasan hampir sama dengan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.


JETI bersebelahan Pasar Basah Cho Ca Con Cha dipenuhi sekurang-kurangnya 200 bot nelayan.

Jeti bersebelahan pasar pula dipenuhi sekurang-kurangnya 200 bot nelayan yang sedang berlabuh, manakala kru sibuk memunggah hasil tangkapan untuk dijual.

Penjual ikan di pasar berkenaan mendakwa, mereka sememangnya bergantung kepada bekalan ikan dari luar Vietnam kerana hasil laut tempatan sudah tiada.

“Tanpa hasil laut luar, kita tidak boleh berniaga,” katanya sambil memberitahu, ikan didaratkan akan dijual kepada peraih untuk pasaran tempatan.

Dia mengakui tidak tahu sama ada ikan yang ditangkap nelayan tempatan di perairan diceroboh turut dieksport ke negara lain.

“Apa yang saya tahu, di sini kami jual secara pukal dan urus niaga secara kecil-kecilan tidak dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, wartawan melakukan tinjauan di jeti pendaratan ikan di Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu untuk melihat sendiri keangkuhan nelayan Vietnam mendaratkan ikan tanpa bimbang kegiatan dihidu pihak berkuasa walaupun menggunakan bot klon.

Nelayan tempatan, mahu dikenali sebagai Jusoh berusia 60-an, mengakui aktiviti pencerobohan bermula sekitar 2013 dan semakin serius beberapa tahun kebelakangan seakan tiada penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa.

“Secara terang-terangan struktur bot digunakan nelayan Vietnam sebenarnya dibuat di negara berkenaan namun diklon menggunakan nombor pendaftaran dikeluarkan pihak berkuasa negara ini.

“Namun, mereka tidak bimbang untuk mendaratkan ikan di jeti berkenaan atau pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa kerana mempunyai dokumen lengkap seperti lesen dan buku pelaut,” katanya yang memiliki pengalaman sebagai nelayan selama 40 tahun.

Wartawan dimaklumkan, bot nelayan Vietnam hanya mendaratkan ikan baja dan tangkapan berkualiti rendah memandangkan itu antara syarat yang perlu dipatuhi semata-mata membolehkan mereka mendapatkan bekalan bahan bakar.

Jusoh berkata, dia sendiri pernah menguruskan kru bertugas di bot Vietnam menggunakan lesen pengusaha tempatan dan dibayar hingga RM8,000 sebulan.

“Saya cuci tangan selepas menyedari hasil laut semakin berkurangan, tak tahu apa nak cakap bila dengar keluhan rakan nelayan tempatan berikutan hasil tangkapan merudum.

“Kemudian saya kembali menjadi nelayan, memang benar dakwaan rakan-rakan pendapatan tidak menentu ekoran hasil laut sudah semakin berkurangan.

“Kalau pencerobohan berterusan saya anggarkan tiga tahun lagi laut kita boleh diibaratkan macam padang jarak, padang terkukur, mungkin ketika itu ikan sudah tidak ada lagi,” katanya.

Tinjauan kemudian dilakukan wartawan di jeti Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan yang menjadi antara lokasi pendaratan ikan popular bot nelayan Vietnam.

Hasil pemerhatian selama tiga jam di kawasan berkenaan mendapati nelayan Vietnam bebas keluar masuk ke kedai runcit berhampiran untuk membeli barang keperluan walaupun tidak menggunakan pasport.

Untuk rekod, nelayan Vietnam menggunakan buku pelaut dan sepatutnya tidak dibenarkan keluar dari jeti, bagaimanapun, mereka bebas bergerak meninggalkan kawasan berkenaan.

Beratkan hukuman

KUALA LUMPUR: Peruntukan undang-undang di bawah Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, tindakan lebih agresif perlu dilakukan bagi menangani kes pencerobohan nelayan asing yang masih berlaku biarpun pelbagai penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa.

“Saya pun menyedari hakikat bahawa tindakan yang sudahpun kita ambil berkesan juga dengan jumlah kes-kes semakin meningkat dan bertambah tetapi ada penurunan jika dibandingkan sebelum operasi dijalankan.

“Ada dua jawatankuasa utama yang menjalankan operasi dipimpin Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan satu lagi jawatankuasa mengenai dasar dan perundangan kerana didapati antara masalahnya tindakan serta hukuman dikenakan kepada mereka yang terbabit tidak begitu berat.

“Disebabkan itu, kajian dibuat jawatankuasa ini untuk meneliti undang-undang yang utama di bawah Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen.

“Jika perlu dipinda dan dibawa ke sini (Dewan Rakyat) untuk mengenakan tindakan dan hukuman lebih berat, akan kita laksanakan,” katanya menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) pada sesi Waktu Pertanyaan Lisan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, semalam.

Rayer bertanya adakah kerajaan bercadang mengambil tindakan agresif seperti China bagi menangani isu pencerobohan ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga mempertimbangkan penambahan aset lebih besar bagi memperluaskan penguatkuasaan pihak berkuasa ke laut dalam.

“Keduanya menambah aset-aset yang agak besar yang boleh sampai laut dalam. Sekarang ini, kita bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana mereka ada kapal agak besar supaya dengan cara itu kita dapat mengesan kes-kes ini (pencerobohan) lebih meluas lagi,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) adakah APMM mempunyai tempat mencukupi untuk menempatkan kapal nelayan asing ditahan sebelum proses pelupusan, beliau berkata, kerajaan memikirkan langkah seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 10:00 AM
MOHD Shahar menunjukkan akhbar Harian Metro pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen.