HAEL berasakan tidak adil orang lain bawa lagu Anta Permana untuk separuh akhir Muzik-Muzik 34 dan AJL34.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Karya seni terutama muzik tidak hanya lengkap bersama melodi dan lirik, sebaliknya dicipta supaya cocok dengan jiwa serta suara sang penyanyi.

Disebabkan itulah lagu yang kena dengan jiwa penyanyi yang melantunkannya akan lebih mudah diserap dan dirasai pendengar.

Bagi penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini, dia sudah menghasilkan banyak lagu untuk penyanyi tanah air termasuk Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ramai tertanya-tanya, siapakah yang akan menyampaikan lagu itu sekiranya ia layak melangkah ke separuh akhir Muzik Muzik 34 dan Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) nanti memandangkan Siti enggan lagi menyanyi di AJL?

Hael berkata, dia menyerahkan kepada Siti. Penyanyi itu lebih berhak untuk menyuarakan prinsipnya sama ada mahu atau tidak mempersembahkan lagu ciptaannya bersama Ezra Kong itu di pentas pertandingan.

“Sebenarnya, keputusan siapa yang akan menyanyikan lagu itu atau sama ada Siti sendiri akan membuat persembahan terletak di tangannya,” katanya.

Sebagai komposer, Hael tentunya inginkan penyanyi asal yang akan mempersembahkan lagu ciptaannya di pentas pertandingan berprestij itu.

“Sebagai komposer, saya mengharapkan Anta Permana dinyanyikan Siti. Saya rasa tak sesuai jika penyanyi lain ‘mengambil’ jiwa lagu itu dan ia tidak akan menjadi Anta Permana yang sama,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Jampi dan Haram ini, setiap lagu yang dicipta melihat kepada kriteria seseorang penyanyi yang akan menyanyikannya.

“Saya mencipta sesuatu lagu mengikut kriteria artis itu sendiri. Apabila dipertandingkan, kita bukan saja mempertandingkan lagu tetapi juga pembawa lagu itu sendiri.

“Saya rasa, tidak adil untuk orang lain membawa lagu itu selepas artis itu sendiri sudah meletakkan Anta Permana di tempatnya seperti hari ini,” katanya.


HAEL mengaku pernah taasub dengan Dayang.

Hael berkata, dia ada memujuk Siti dan mengajak peminat penyanyi itu mendoakan supaya hatinya terbuka untuk kembali beraksi sekiranya Anta Permana layak ke separuh akhir atau AJL.

“Saya memang ada pujuk. Dia memberitahu saya, insya-Allah sekiranya hatinya terdetik bersetuju untuk mempersembahkan sendiri Anta Permana, dia akan pertimbangkan.

“Kalau boleh, sekiranya peminat Siti rindu melihatnya kembali beraksi di pentas pertandingan sebegitu, kita sama-sama doakan supaya dia terbuka hati,” katanya.

Bercerita mengenai karier muziknya yang semakin memuncak, Hael mengakui mula berasakan keseronokan dalam berkarya.

“Saya sangat bersyukur dan teruja apabila diberi kepercayaan oleh orang baru dan lama dalam industri muzik untuk menghasilkan lagu buat mereka.

“Setiap daripada mereka masing-masing hebat dalam era tersendiri dan saya sebagai komposer berasakan pengalaman makin bertambah menarik,” katanya.

Tidak hanya Malaysia, Hael juga menerima beberapa tawaran untuk menghasilkan lagu untuk penyanyi Indonesia.

“Sudah ada beberapa perbincangan dengan beberapa penyanyi dari Indonesia yang ingin menggunakan khidmat saya sebagai komposer.

“Apa yang membuatkan saya berbesar hati adalah apabila semakin ramai artis luar yang menghargai karya komposer negara kita. Pastinya ia satu perkembangan sihat dalam industri muzik kita hari ini,” katanya.

HAEYANG MAKIN SEBATI

Kerjasama Hael dengan Dayang Nurfaizah ternyata membuahkan hasil yang tidak dijangka.

Siapa sangka, dua figura yang masing-masing menempa nama dalam dua era berbeza mampu disatukan dengan cukup sebati.

Hael berkata, kerjasama dengan Dayang umpama mimpi yang menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi selepas mereka muncul dalam single duet berjudul Haram.

“Saya memang pernah taasub dengan Dayang dan apabila dapat bekerjasama, ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Apabila dapat bekerjasama dengannya, tentunya saya sangat menjaga hubungan ini secara profesional,” katanya.

Ditanya sama ada keserasian antara mereka itu mengehadkan kerjasama dengan artis lain, Hael berkata, itu tidak pernah menjadi batas buat karier mereka.

“Sebenarnya ada beberapa projek lain selepas bersama Dayang apabila saya bekerjasama dengan penyanyi lain.

“Kami tidak pernah meletakkan batas dalam melebarkan sayap seni. Kami bekerja secara profesional dan tidak ada masalah untuk bekerja dengan orang lain. Insya-Allah, pada masa akan datang kami akan bekerjasama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 6:00 AM