Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


KERAJAAN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersengkongkol dalam rantaian isu mengaut hasil laut di perairan negara secara haram.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, tindakan tegas akan diambil selepas mengumpul dan meneliti semua fakta serta bukti kukuh berkaitan aktiviti pencerobohan nelayan Vietnam sepertimana dilaporkan Harian Metro (HM), hari ini.

“Saya hargai wartawan (HM) yang pergi itu (penyamaran di Vietnam) dengan niat misi mencari fakta... itu saya hormat sebagai membantu kita.

“Tetapi sebagai Menteri saya harus tegakkan undang-undang, prosedur harus diikuti dan saya tidak akan berkompromi sekiranya vesel yang didaftarkan itu sama ada diberi kepada orang tengah, ada berlaku ‘rent seeker’.

“Saya minta Yang Berhormat (yang bangkitkan isu pendedahan HM) berikan maklumat siapa dia punya tuan tauke ada di situ kita tidak akan kompromi ambil tindakan sewajarnya dan mengarahkan Ketua Pengarah Perikanan memberi laporan serta merta.

“Saya akan laporkan balik kepada Parlimen dalam sesi akan datang tentang tindakan yang akan kita lakukan kepada mereka ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta Kementerian menjelaskan isu pencerobohan nelayan asing sepertimana pendedahan laporan eskslusif Harian Metro hari ini.

Isu berkenaan turut disentuh 32 wakil rakyat yang menyokong dan meminta kerajaan mengambil tindakan tegas menerusi pindaan RUU berkenaan.

RUU Perikanan (Pindaan) 2019 diluluskan selepas semua ahli parlimen setuju sebulat suara dan bacaan ketiga akan bersambung esok.

Menjawab soalan dibangkitkan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu berhubung aset APMM, beliau menjawab kerajaan akan memberi pertimbangan menambah aset.

“Saya tidak punya autoriti berapa jumlah aset yang boleh digunakan APMM keranaisu keselamatan negara yang KDN harus jawab.

“Tetapi kolaborasi empat kementerian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar) sangat diperlukan.

“InsyaAllah jika ekonomi kita pulih dalam tiga empat tahun kita akan membeli lebih banyak aset mengawal perairan negara kita,” katanya.

Berita berkaitan

Jawatankuasa kaji hukuman ke atas nelayan asing

An Thuan buka rahsia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 9:54 PM