NUR Rabiatul 'Adawiyah (kiri) berterima kasih kepada Harian Metro kerana membolehkan dia berhubung dengan Nor Asnidal, hari ini dan mereka dijangka berjumpa dalam masa terdekat.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


“KAMI tak mampu bersembang lama kerana asyik menangis.” Demikian kata Nur Rabiatul 'Adawiyah Shamsul Annuar, 20, yang akhirnya dihubungi ibunya, Nor Asnidal Md Nor, 41, selepas terpisah selama 14 tahun.

Dua beranak itu dipertemukan selepas portal berita Harian Metro malam tadi melaporkan mengenai usaha Nur Rabiatul 'Adawiyah yang menggunakan media sosial untuk mengesan ibunya.

Secara kebetulan artikel itu dibaca jiran Nor Asnidal di Facebook (FB) Harian Metro yang seterusnya memaklumkan kepada wanita itu.

Susulan itu, Nor Asnidal cuba mengesan anaknya menerusi ruangan komen dan ternampak komen daripada akaun FB dipercayai milik Rabiatul.

Daripada profil FB milik Rabiatul, dia akhirnya berjaya menghubungi ibu saudara anaknya untuk mendapatkan nombor telefon.

Rabiatul ketika dihubungi Harian Metro berkata, perbualan singkat kira-kira 16 minit itu disifatkan memori indah yang tidak dapat dilupakannya.

"Mak menelefon saya pada 11 pagi tadi dan kami ada merancang untuk bertemu dalam masa terdekat.

"Apatah lagi dia kini sudah kembali menetap di kampung halamannya di Batu Kurau menjaga nenek selepas arwah datuk meninggal dunia dua bulan lalu," katanya.

Rabiatul turut berharap kehidupannya bersama ibu kandungnya itu akan jadi lebih baik tanpa sebarang halangan selepas ini.

Dalam pada itu, dia turut berterima kasih kepada Harian Metro kerana memudahkan usaha pencarian ibunya yang hilang sejak 14 tahun lalu.

Sementara itu, Nor Asnidal bersyukur kerana doanya termakbul.

“Kami masing-masing mencari sejak dulu tapi disebabkan masalah keluarga, kami terpisah dan saya selalu berdoa, satu hari nanti dia akan cari saya.

“Malah saya dapat tahu, rupa-rupanya Atul (Rabiatul) belajar dalam kolej yang sama dengan anak kedua saya tapi tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Nor Asnidal yang berkahwin baru pada 2006 dan dikurniakan tiga anak akui tidak pernah berhenti mencari Rabiatul termasuk ke rumah arwah bekas mentua di Ipoh.

“Anak kedua saya turut membantu mencari apabila diberitahu dia ada seorang kakak. Tapi tidak sangka, walaupun belajar kolej yang sama, mereka tidak pernah bertemu.

“Kebetulan beberapa jiran sekampung memberitahu mengenai artikel di Harian Metro semalam dan mengenai usaha anak mencari saya sejak tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dia sudah menghubungi bekas suami dan tiada masalah untuk Rabiatul bertemu dengan dia dalam tempoh terdekat.

Berita berkaitan

'Tolong cari mak saya...'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 10:30 PM