NABILA utamakan ahli kelab peminat. FOTO/NADIM BOKHARI
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


HAMPIR tujuh tahun membabitkan diri dalam bidang hiburan tanah air, pelbagai pahit getir dilalui penyanyi dan pelakon Nabila Razali.

Nabila, 27, atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali berkata, dia mampu berdepan apa saja ujian mendatang kerana sokongan padu daripada kelab peminatnya, Nabaela FC sejak dulu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana memiliki kelab peminat sejak 2013, sekali gus menjadi tulang belakang dalam karier seni.

“Sebelum ini, ia dikenali dengan nama Bellanistic Fan Club yang mula ditubuhkan ketika saya menyertai Akademi Fantasi 2013.

“Selepas berbincang, saya putuskan kepada nama yang lebih komersial iaitu Nabaela FC sesuai dengan jenama dan pencapaian dalam bidang seni tanah air ketika ini,” katanya.

Setakat ini, Instagram Nabaela FC sudah mempunyai lebih 30,000 pengikut.

“Siapalah artis tanpa sokongan peminat? Kelab peminat memainkan peranan penting dalam membantu menaikkan nama dan populariti seseorang artis itu.

“Pada awal pembabitan, saya banyak menerima kecaman daripada netizen mengenai kemampuan vokal dan sebagainya.

“Namun, saya tetap tabah berdepan ujian dan terus bertahan hingga hari ini hasil sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat, keluarga, rakan serta pihak media,” katanya ketika ditemui pada majlis raikan raya bersama Nabaela FC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercerita mengenai majlis itu, Nabila berkata, dia mahu berkongsi rezeki dengan ahli Nabaela FC yang menyokongnya sejak dulu.

“Walaupun sibuk, saya tetap pastikan dapat membalas komen setiap peminat di Instagram, Facebook dan Twitter.

“Saya turut meluangkan masa untuk menyertai aktiviti bersama kelab peminat, sekali gus mengeratkan hubungan dengan mereka. Selain itu, saya juga mengadakan majlis rumah terbuka bersama ahli kelab peminat tanpa mengenakan sebarang bayaran setiap kali sambutan raya setiap tahun,” katanya.


MENYANYI bersama salah seorang ahli kelab.

PEMINAT FANATIK AJAK KAHWIN

Sebagai selebriti, Nabila juga sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua ahli Nabaela FC hingga hari ini.

Nabila tidak menafikan ada peminat fanatik di Facebook yang mahu berkenalan termasuk mengajaknya berkahwin.

“Ada seorang lelaki misteri yang sering menghantar pesanan menerusi Facebook Messenger dengan mengucapkan selamat pagi dan malam setiap hari seolah-olah saya adalah teman wanitanya, baru-baru ini.

“Dia agak menakutkan kerana sentiasa memberitahu aktiviti yang dilakukannya seperti memasak, memancing dan sebagainya sedangkan saya tidak membalas komennya itu,” katanya.

Bagaimanapun, Nabila tidak melihat perkara itu serius kerana keadaan masih terkawal lagi.

“Saya juga tidak menyekat akaun Facebook lelaki itu kerana setakat ini dia belum menimbulkan masalah yang boleh membabitkan tindakan dari segi undang-undang,” katanya.

Bercerita mengenai karier nyanyiannya, Nabila berkata, dia gembira lagu Vroom Vroom mendapat sambutan baik daripada peminat sama seperti lagu Cumi Cumi sebelum ini.

“Ramai peminat yang sudah mula memanggil saya sebagai penyanyi lagu Vroom Vroom sekarang.

“Pada majlis Aidilfitri pun, ada peminat minta saya menyanyi lagu Vroom Vroom dan bukannya lagu raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:00 AM