ANTARA daging hidupan liar yang ditemui sudah dilapah dan disimpan di dalam guni di sebuah premis di Pengkalan Hulu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Dijual mencecah RM300 bagi setiap mangkuk sup daging kambing gurun. Malah, harganya mampu meningkat hingga RM600 bagi sepinggan daging goreng beruang atau seladang.

Malah, golongan kemaruk daging hidupan liar ini dikatakan sanggup membelanjakan ribuan ringgit bagi setiap sekilogram daging tenggiling, harimau, beruang dan pelbagai hidupan liar lain.

Walaupun menyedari risiko diberkas pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun golongan yang percaya mitos khasiat makanan pelik ini terus wujud.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan pemburuan haram serta membekalkan daging hidupan liar dilindungi kepada peminat makanan eksotik terbongkar selepas sepasukan tujuh pegawainya menyerbu sebuah premis perlombongan pasir di Pengkalan Hulu, Perak.

Dalam serbuan jam 2.30 petang Sabtu lalu, penguat kuasa Jabatan Perhilitan Negeri Perak melakukan pemeriksaan rapi terhadap premis itu sebelum menemui satu karung guni mengandungi organ hidupan liar yang disembunyikan di kawasan belakang premis itu.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui tiga bungkusan disyaki daging tenggiling disimpan di dalam peti sejuk di dapur rumah berkenaan.

“Turut dirampas dua bungkusan plastik hitam berisi bahagian badan hidupan liar yang sudah dilapah. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan haiwan apakah itu.

“Semua daging hidupan liar itu dirampas dan tindakan dilakukan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. (Akta 716),” katanya.

Menurutnya, operasi sama turut dilakukan di sebuah rumah kongsi berhampiran Hutan Simpan Sungai Yu, Kuala Lipis, Pahang, Isnin lalu.

“Dalam operasi jam 2 petang itu, kakitangan Perhilitan melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kongsi tidak bernombor berhampiran Hutan Simpan Sungai Yu, Kuala Lipis, Pahang.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui sejumlah sisik tenggiling disimpan di dalam bekas plastik. Empat suspek lelaki warga Myanmar yang tinggal di rumah itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen sah dari Perhilitan bagi tujuan pemilikan dan penyimpanan bahagian hidupan liar,” katanya.

Menurutnya, semua suspek terbabit kemudian dibawa ke balai polis untuk tujuan laporan polis dan melengkapkan dokumen tangkapan.

“Mereka kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Taman Negara Pahang Sungai Relau,” katanya.

Menurutnya, operasi sama turut dilakukan pada jam 5.30 petang, Khamis lalu, apabila kakitangan Perhilitan Kelantan turut melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kongsi di Gua Musang, Kelantan.

“Dua lelaki warga Myanmar ditahan sebelum pegawai Perhilitan menemui sejumlah sisik Tenggiling disimpan di dalam plastik berwarna kuning.

“Kedua-dua mereka yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pemburuan haram kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 8:02 AM