TUJUH sahabat itu bergambar di depan rumah agam yang diubah suai. FOTO Daily Mail
Agensi

BEIJING: Hasrat tujuh sahabat wanita untuk menghabiskan sisa hidup bersama selepas bersara terkabul apabila rumah agam mereka di Guangzhou sudah selesai dibina, baru-baru ini.

Rumah agam seluas 7,535 kaki persegi itu setinggi tiga tingkat dan terletak di sebuah perkampungan kira-kira 70 kilometer dari bandar.

Mereka menghabiskan 4 juta yuan (RM2.4 juta) untuk mengubah suai rumah itu yang dilengkapi tujuh bilik, ruang minum teh, dapur terbuka besar serta kolam renang.

Menurut Yitiao, pada 2008, wanita berusia 30-an berkenaan bergurau mahu menghabiskan sisa hidup bersama dalam rumah idaman mereka.

MEREKA sepakat mempelajari pelbagai kemahiran untuk digunakan selepas bersara. FOTO Daily Mail

Jin Du memberitahu Yitiao, impian itu bagaimanapun tercapai lebih awal apabila mereka menemui sebuah rumah di kawasan luar bandar Guangzhou, tahun lalu.

“Kami mempunyai hubungan baik sejak berkenalan di tempat kerja 20 tahun lalu.

“Jadi, kami merancang untuk berkumpul dan hidup bersama apabila mencapai usia 60 tahun,” katanya.

Kumpulan itu turut bersepakat untuk menguasai kemahiran berguna untuk digunakan apabila bersara nanti seperti memasak, perubatan tradisional Cina, menanam sayuran dan bermain muzik.

“Dalam 10 tahun akan datang, anak kami sudah dewasa dan berharap dapat berkumpul lagi pada waktu itu,” katanya.

KEADAAN asal rumah berkenaan. FOTO Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:30 AM