ANGGOTA penguat kuasa membawa keluar pendatang asing yang ditahan. FOTO arkib NSTP
Shamsul Munir Safini dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Siraj Mohd Zaini
am@hmetro.com.my


TANPA menghiraukan nyawa pendatang asing tanpa izin warga Bangladesh yang hanya berkain pelekat sanggup memanjat balkoni dan bersembunyi di atas bumbung tingkat tiga sebuah apartmen di Jalan Segambut, di sini, bagi mengelak ditahan, semalam.

Malah, dalam serbuan di Lorong Desa Aman Puri, Kepong pula, seorang lelaki warga Afrika terjun ke dalam kawasan hutan yang bercuram manakala rakan senegaranya yang bertubuh sasa turut ‘mengamuk’.

Keadaan itu menyebabkan empat anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bergelut selama beberapa minit sebelum menahannya.

Manakala, sebahagian warga asing yang panik bertempiaran lari namun gagal apabila ditahan dalam Op Kutip dan Op Sapu yang diadakan secara berasingan bermula jam 10.45 malam hingga 3.45 pagi.

Operasi itu membabitkan 60 pegawai dan anggota penguat kuasa JIM WPKL diketuai Penolong Pengarah JIM WPKL, Mohd Sharulnizam Ismail.


ANTARA awang hitam yang ditahan dalam serbuan. FOTO arkib NSTP

Pengarah JIM WPKL Hamidi Adam berkata, seramai 43 individu diperiksa dalam Op Kutip sebelum 16 lelaki dan empat wanita terdiri 18 warga Afrika dan masing-masing satu Indonesia serta Thailand berusia 24 hingga 45 tahun ditahan untuk siasatan.

“Ketika serbuan warga asing cuba melarikan diri, namun gagal berikutan lokasi berkenaan sudah dikepung anggota penguat kuasa.

“Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 56 (1) (I) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan Segambut, di sini, pula seramai 214 orang diperiksa di mana 49 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen.

Hamidi berkata, mereka yang ditahan terdiri 42 lelaki dan tujuh wanita berusia 25 hingga 48 tahun.

“Pendatang asing tanpa izin terbabit terdiri 17 warga Indonesia, Bangladesh (26), Pakistan (3), Filipina (2) dan Nepal (1).

“Seramai 45 orang disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan selebihnya disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama,” katanya.


WANITA warga asing tunduk malu selepas ditahan. FOTO arkib NSTP

Pura-pura pengsan konon

Menyedari taktik berpura-pura pengsan tidak menjadi menyebabkan seorang wanita warga Vietnam meraung beberapa minit selepas gagal melarikan diri dalam Op Gegar di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong Mesra, di sini, malam kelmarin.

Dia antara 14 wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan seorang lelaki tempatan yang ditahan dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Operasi bermula jam 12.45 tengah malam diketuai Penolong Pengarah JIM WPKL, Mohd Sharulnizam Ismail itu membabitkan 60 pegawai dan anggota penguat kuasa.

Pengarah JIM WPKL, Hamidi Adam berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 15 individu termasuk pekerja lelaki berusia 23 hingga 35 tahun terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, malah, ada antara wanita berkenaan turut cuba melarikan diri mengguna pintu belakang, namun gagal.


KEADAAN pendatang asing ketika serbuan. FOTO arkib NSTP

Leka bekerja ketika serbuan

Serbuan ke atas premis perniagaan dan pusat hiburan di Jalan Batu Ferringhi di sini, dan Bukit Mertajam membawa kepada penahanan seramai 33 pendatang asing tanpa izin (Pati), kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 5 petang, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang memeriksa 109 warga asing sebelum menahan 33 daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, pihaknya menyerbu 12 premis termasuk restoran dan kedai runcit di kawasan tumpuan pelancong itu selain sebuah tapak binaan di Bukit Mertajam.

Katanya, dalam serbuan di Batu Feringgi, semua pendatang yang ditahan tidak dapat melarikan diri selepas dikepung anggota penguat kuasa.

“Pihak kami sudah beberapa hari melakukan risikan di kawasan itu bagi mengenal pasti lokasi Pati ini yang bekerja di premis itu.

“Hasilnya, kami berjaya menahan kesemua mereka yang sedang leka bekerja ketika serbuan,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand serta empat lelaki dan empat wanita warga Indonesia.

Katanya, turut ditahan ialah lapan lelaki dan dua wanita warga Myanmar, sembilan lelaki warga Bangladesh serta masing-masing seorang dari Syria dan Yaman.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


SEBAHAGIAN pendatang yang ditahan dalam serbuan di Jalan Batu Ferringhi, semalam. FOTO arkib NSTP

Kahwin nak dapat lesen niaga

Menjalin cinta sehingga berkahwin dengan wanita tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan seterusnya membuka kedai makan yang kemudiannya dijadikan tempat berkumpul warga Afrika.

Keadaan itu menyebabkan berlaku lambakan awang hitam di sekitar Saujana Putra, di sini, sehingga menimbulkan keresahan penduduk setempat mengenai keselamatan diri serta tempat tinggal mereka.

Berikutan itu, serbuan Op Flora dilakukan sepasukan anggota polis dengan agensi lain jam 7.30 petang kelmarin berdasarkan maklumat awam dan risikan.

Operasi berkenaan membabitkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihak polis memeriksa seramai 80 individu dalam operasi itu dan 21 daripadanya termasuk tujuh wanita berusia 30 hingga 40-an ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen.

“Seramai 18 warga Nigeria, seorang dari Afrika dan dua dari Sudan ditahan dalam operasi itu.


SEBAHAGIAN pendatang warga Afrika, Nigeria dan Sudan yang ditahan dalam Op Flora di Saujana Putra. FOTO arkib NSTP

“Siasatan awal mendapati mereka bukan tinggal di Saujana Putra, sebaliknya datang dari Cyberjaya, Puchong, Damansara, Shah Alam dan Klang,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, semakan mendapati beberapa premis perniagaan makanan yang diusahakan awang hitam adalah berlesen di atas nama warga tempatan.

“Kebanyakan pemilik lesen adalah wanita dan diusahakan oleh suami mereka iaitu lelaki warga Afrika.

“Pelbagai aduan diterima sejak mereka mula ramai di kawasan ini termasuklah cubaan cabul serta melanggar peraturan trafik dengan memandu laju,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Polis bimbang lambakan mereka (pendatang asing tanpa izin) akan menimbulkan kes-kes penipuan, dadah dan sebagainya.

“Justeru, pihak polis akan terus memantau bagi mencegah lambakan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menimbulkan keresahan penduduk setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 7:00 AM