Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“ITU kali pertama saya muncul di tempat awam dengan memakai kostum dan tak sangka, ramai menonton dan memberi maklum balas terhadap video berkenaan,” kata Eric Lau Lofstedt.

Eric, 20, mendapat perhatian warganet selepas videonya lengkap memakai kostum Spiderman dengan aksi spontan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor tular di laman sosial, baru-baru ini.

Menerusi rakaman video berdurasi 19 saat itu, Eric melakukan aksi lompatan ala Spiderman sebelum menghampiri seorang kanak-kanak lelaki, tetapi dia berlalu pergi meninggalkan pengunjung cilik itu kerana memakai baju T dengan lambang Captain Amerika.

Gurauan itu bagaimanapun disalah erti kanak-kanak berkenaan hingga dia menangis sebelum Eric datang semula kepadanya untuk meminta maaf.

Sehingga kini, video dimuat naik lima hari lalu itu sudah mendapat 197,000 tontonan, hampir 12,000 ulang ciap serta lebih 9,000 tanda suka di Twitter.

Menceritakan semula insiden itu, Eric berkata, dia tidak berniat untuk membuat kanak-kanak berkenaan tersinggung kerana sekadar mahu menghiburkan pengunjung di pusat beli-belah berkenaan.

“Namun, lain pula jadinya apabila dia (kanak-kanak) menangis selepas saya berlalu pergi dan pada mulanya, saya rasa bersalah.

“Tetapi, mujurlah ibu bapanya faham bahawa apa yang saya lakukan itu sekadar gurauan semata-mata.

“Saya pernah memuat naik beberapa video di laman sosial sebelum ini, tetapi tidak sangka aksi memakai kostum itu lebih memberi impak kepada warganet.

“Malah, idea ke pusat beli-belah dengan memakai kostum Spiderman itu datang secara spontan dan jujurnya, saya agak gementar kerana tiada pengalaman melakukan aksi sebegitu di khalayak ramai,” katanya.

Eric berkata, selain menerima pelbagai maklum balas daripada warganet, jumlah pengikutnya bertambah selepas video berkenaan tular.

Katanya, maklum balas positif itu memberinya semangat untuk menghasilkan video dengan pengisian lebih baik pada masa akan datang.

“Sebenarnya, saya bukanlah pemain cosplay kerana lebih aktif berlakon dan menghasilkan video untuk dimuat naik di laman sosial.

“Jadi, tampil dengan kostum Spiderman itu adalah percubaan pertama saya dan terima kasih kepada semua yang menonton dan memberi maklum balas positif.

“Saya tidak lakukannya untuk menarik perhatian sesiapa, sebaliknya kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan meningkatkan keyakinan diri...itu saja,” katanya.

KANAK-KANAK yang memakai baju Captain Amerika menangis apabila diusik Spiderman di pusat beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini. FOTO ihsan Eric Lau Lofstedt.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 9:31 PM