DIGELAR 'kru berhijab', Norlinda menempuhi pelbagai pengalamana menarik sebagai pramugari Amal yang khusus untuk penerbangan sewaan umrah dan haji. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek
yusrimalek@mediaprima.com.my


DIGELAR ‘Kru Berhijab’, tugas mereka adalah memastikan setiap jemaah haji yang menaiki pesawat dilayan sebaik mungkin demi menyantuni dhuyufurrahman atau tetamu Allah.

Sentiasa tersenyum dan menuturkan perkataan yang sopan adalah prinsip utama bagi mereka sekalipun berdepan dengan situasi kurang menyenangkan.

Bagi pramugari Amal, anak syarikat Malaysia Airlines Berhad yang khusus untuk penerbangan sewaan umrah dan haji, Norlinda Mohd Noor, 43, sepanjang berkhidmat sejak 25 tahun lalu, tugas menyantuni jemaah haji adalah paling mencabar, terutama bagi jemaah pertama kali menaiki pesawat.

“Namun begitu, setiap mereka diberi layanan baik bagi memastikan mereka selesa ketika berada sepanjang penerbangan.

“Warga emas kebanyakan ada yang tidak biasa atau tahu menggunakan tandas menyebabkan ada menahan untuk membuang air untuk tempoh panjang.

“Dalam situasi ini kita akan bertanya kepada mereka jika perlu apa-apa. Kami akan memberi servis terbaik dan membantu mereka sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui dalam pesawat A380 yang membawa 480 jemaah haji untuk penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Madinah.


MOHD Jamal (kiri), Hasnan dan Mohd Rus (kanan) menceritakan pengalaman bekerja dalam projek pembesaran Masjidilharam. FOTO Yusri Abdul Malek.

Dalam satu penerbangan haji, seramai 20 kru akan terbabit.

Norlinda berkata, dalam pengalaman lalu, dia berasa terharu kerana ada dalam kalangan jemaah yang menaiki pesawat bersamanya mendoakan kesejahteraannya di depan Kaabah.

“Saya tidak menyangka ada juga jemaah yang ingat nama saya walaupun kali pertama bertemu dan berdoa untuk saya,” katanya.

Bagi rakannya, Mohd Fauzi Abdul Habi, 47, sepanjang berkhidmat sebagai pramugara sejak 2001 dan terbabit dengan jemaah haji dan umrah mulai tahun lalu, dia sentiasa bersedia menghadapi pelbagai masalah luar jangka, terutama jemaah yang tidak sihat.

Beliau yang berasal dari Semporna, Sabah turut mengakui sejak menyertai Amal ini, dia sudah banyak kali berpeluang mengerjakan Umrah tetapi belum kesempatan mengerjakan haji.

“Ramadan lalu, saya berpeluang beberapa kali bertarawih di tanah suci,” katanya yang turut berdoa supaya ditemukan jodoh kerana selama ini beliau sibuk menguruskan ibu bapa.

Katanya, menyertai Amal adalah satu rahmat yang besar dalam hidupnya.


MOHD Fauzi. FOTO Yusri Abdul Malek

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 8:25 PM