SUBOH (kiri) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Supian Ahmad
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


BEKAS Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International), Datuk Suboh Md Yassin mengakui tidak mengetahui kewujudan akaun lain milik syarikat itu yang membuat transaksi RM20 juta ke dalam akaun Ihsan Perdana.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan hari ke-32 di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Harvinderjit mengemukakan cek akaun AmBank bernombor akhir 736 kepada Suboh yang mengandungi tandatangannya untuk dilihat.

Saksi ke-42 itu bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa tidak mungkin itu tandatangannya yang dilihat sebelah tanda tangan milik Nik Faisal.

Ketika dirujuk dengan penyata akaun itu, Suboh bersetuju beliau tidak mengetahui atau memberi kebenaran berhubung semua transaksi itu.

Sementara itu, Suboh mengakui tidak mengetahui sebab sebenar Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil tidak diperbaharui pelantikannya pada 2014.

Harvinderjit: Adakah anda tahu pelantikan Nik Faisal ditamatkan?

Suboh: Saya sebenarnya tidak tahu perkara itu.

Harvinderjit: Pada 2014, Lembaga Pengarah SRC memutuskan untuk menamatkan peranan Nik Faisal, anda tahu perkara ini?

Suboh: Ya, mungkin Lembaga Pengarah tidak berpuas hati dengan beliau.

Harvinderjit: Anda tidak pasti berhubung sebab sebenar?

Suboh: Saya tidak pasti sebab sebenar.

Harvinderjit: Setuju dengan cadangan saya, walaupun Nik Faisal mempunyai sokongan kuat dan kuasa besar, Lembaga Pengarah mempersoalkan berhubung audit akaun syarikat yang mengelirukan pada 2013?

Suboh: Ya setuju.

Harvinderjit: (Merujuk kepada minit mesyuarat 11 Ogos 2014) Nik Faisal bukan lagi Ketua Pegawai Eksekutif SRC?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Siapa yang ambil alih?

Suboh: Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin.

Menjawab soalan Harvinderjit, Suboh mengakui tidak mengenali pengurusan SRC International sejak dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif syarikat itu.

“Saya hanya berjumpa dengan Nik Faisal tetapi tidak berpeluang berjumpa dengan yang lain.

“Sebelum dilantik sebagai Pengarah SRC, saya pernah berjumpa dengan Tan Sri Ismee Ismail sekali saja dan kami bukan berkawan,” katanya.

Sementara itu, pada prosiding sebelah petang, Suboh mengakui menandatangani Resolusi Pekeliling Lembaga Pengarah (DCR) tanpa merujuk pengarah yang lain atau dokumen sokongan.

“Kebiasaannya setiausaha Nik Faisal akan membuat panggilan sama ada saya ada atau tidak. Saya terus menandatangi DCR tanpa merujuk mana-mana pihak.

“Ia amalan biasa di dalam syarikat,” katanya.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula, Peguam Negara Tommy Thomas mengemukakan permohonan melanjutkan prosiding perbicaraan kes itu hingga 15 Ogos depan.

“Kami berharap kes ini (SRC) selesai pada 15 Ogos depan manakala kes Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula 19 Ogos depan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan berkata, beliau bersedia melanjutkan tarikh perbicaraan SRC pada September dan November ini.

Menurutnya, pada Oktober tahun ini sudah ditetapkan perbicaraan kes membabitkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Ogos hingga 29 Ogos dan bersambung pada 2 September hingga 14 November depan bagi perbicaraan kes 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:30 AM