JDT sedia lepaskan Safawi (kiri) dan Akhyar untuk beraksi di Liga J. FOTO arkib NSTP
Manan Samad dan Firdaus Hashim & Syazwan Msar
sukan@nstp.con.my


DUA bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid disebut-sebut sebagai antara lima pemain yang berpeluang melebarkan sayap ke saingan Liga Jepun (Liga J) selepas memenuhi kriteria untuk beraksi di negara Matahari Terbit itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, aksi menakjubkan dua pemain muda itu mendapat perhatian serius beberapa kelab di liga utama Jepun.

Katanya, menerusi perbincangan awal bersama pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini, beliau turut berkenan melepaskan mana-mana pemain Harimau Selatan sekiranya menerima tawaran kelab luar negara kerana ia mampu meningkatkan mutu permainan dan kualiti individu pada masa akan datang.

“FAM dan JDT memang ada berbincang, kalau ada tawaran bagus daripada kelab luar mereka pun nak hantar. Namun, untuk merealisasikan perkara itu, ia perlu mendapat persetujuan daripada majikan semasa kerana mereka sudah labur duit yang banyak.

“Iya... Akhyar dan Safawi antara pemain disasarkan kelab luar dan kalau boleh, saya mahu hantar ke Jepun atau Korea Selatan. Ini kerana kedua-dua presiden bola sepak di negara itu baik dengan saya, malah kita pun ada MoU (memorandum persefahaman) dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi temubual khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin.

Jelas Hamidin lagi, impian untuk melihat lebih ramai pemain tempatan menembusi pasaran luar negara bukan lagi ‘omong kosong’ kerana Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) sendiri ada meminta FAM untuk mencadangkan lima pemain terbaik dalam lingkungan usia 18-22 tahun bagi ditempatkan secara tetap di kelab terpilih di negara berkenaan.

Ia sekali gus bakal membuka dimensi baharu buat anak Malaysia untuk mencipta nama di Jepun yang sudah melayakkan diri sebanyak enam kali ke Piala Dunia (1998, 2002, 2006, 2010, 2014, 2018) selain empat kali menjulang Piala Asia (1992, 2000, 2004, 2011).

“Sebenarnya Liga Jepun sudah minta kepada kita memilih lima pemain berusia 18-22 tahun untuk berguru dan beraksi di sana. Pada dasarnya, pegawai JFA ada minta kita cadangkan sendiri pemain terbaik untuk dihantar ke sana.

“Saya sudah mengarahkan Peter De Roo (Pengarah Teknikal FAM) dan Datuk Ong Kim Swee (Jurulatih skuad B-23) untuk memantau dan memilih pemain muda berbakat. Ogos ini saya akan ke Jepun untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenainya dan selepas itu baru saya akan umumkan,” katanya.

Pada 5 April lalu, FAM dan JFA menandatangani MoU bagi mewujudkan rangka kerja dan mengukuhkan kerjasama teknikal serta belia membabitkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran kedua-dua pihak.

Majlis menandatangani Mou itu turut disaksikan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Ketika ini 18 kelab sedang berentap di J1 dan antara kelab tersohor seperti Kashima Antlers FC yang juga pemenang Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu serta Gamba Osaka, Kawasaki Frontale, Cerezo Osaka, Jubilo Iwata, Urawa Red Diamonds dan Consadole Sapporo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:15 AM