DR Shahrom ketika hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Sairien Nafis.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SAKSI pakar forensik memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini, beliau yakin 80 hingga 90 peratus kecederaan di dada kanan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca akibat tendangan di pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Perunding Kanan Patalogi Forensik United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, berkata demikian dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib pada hari ke-38 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Menurut saksi inkues ke-29 itu, namun hanya ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) pada pintu van EMRS itu yang mampu membuktikan sepenuhnya dengan penemuan DNA kepunyaan anggota bomba itu.

“Pihak sepatutnya melakukan ujian itu (DNA) adalah Jabatan Kimia, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pihak polis,” katanya ketika menjawab soalan peguam, Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Muhammad Adib.

Dr Shahrom dipanggil semula kali kedua bagi memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Selain Dr Shahrom, saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam yang juga Pakar Forensik Patologi HKL turut dipanggil semula ke Mahkamah Koroner.

Mengulas lanjut isu sama, bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu berkata, pihaknya mendapati hanya objek pada pintu EMRS yang sama dengan kecederaan dialami Muhammad Adib.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Suzana Atan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), saksi sama itu berkata, jika bedah siasat tidak diperiksa dengan betul, kecederaan dialami Muhammad Adib tidak dapat dikesan.

“Dalam kes ini ketika bedah siasat dijalankan, tulang rusuk perlu dipotong sehingga ke tulang belakang serta perlu diperiksa satu persatu.

“Mana-mana tulang nampak patah akan dipotong dan tarik keluar.

“Kesan pada badan akan terlihat, namun kita (forensik) perlu buat kerana mahu mencari punca sebenar kecederaan.

“Tapi dalam hal ini, mungkin bedah siasat ketika dalam tekanan,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:58 PM