Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Koroner Shah Alam, hari ini, diberitahu metodologi yang digunakan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam eksperimen bagi mengetahui punca kecederaan yang menimpa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah salah.

Perkara itu dimaklumkan saksi inkues ke-29, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, yang dipanggil semula untuk memberikan keterangan dalam inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dr Shahrom turut menyifatkan eksperimen yang dilakukan Jabatan Forensik HKL itu adalah sekadar suka-suka atau membabi buta.

“Dia (Dr Ahmad Hafizam) kena tahu apa itu pernyataan masalah dan konsepnya.

“Maaf cakap, laporan ini secara fokusnya tidak lengkap dan hasil laporan eksperimen yang diberikan juga berkualiti rendah,” katanya.

Dr Ahmad Hafizam yang juga Pakar Forensik Patologi HKL adalah saksi inkues ke-24 dan beliau juga individu yang bertanggungjawab melakukan bedah siasat terhadap mayat Muhammad Adib.

Mengulas isu sama, bekas Pakar Perunding Kanan dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz itu berkata, jika pegawai perubatan yang melakukan kesilapan itu tidak mengapa, namun ia dilakukan oleh Pakar Patalogi.

Dalam keterangan hari ini, Dr Sharom berkata, beliau pada mulanya tidak pergi ke lokasi kejadian berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dan hanya merujuk kes terbabit melalui gambar diberikan.

“Bagaimanapun, selepas melihat keterangan dan laporan yang berubah-ubah ketika prosiding inkues berjalan, saya terpaksa pergi ke lokasi itu untuk mencari punca kecederaan di dada kanan Muhammad Adib,” katanya yang turut mendakwa laporan dan keterangan berkenaan berubah-ubah disebabkan alasan mahu bantu mahkamah.

Menurut Dr Shahrom, beliau bernasib baik kerana membuat eksperimen di kedua-dua tempat.

“Nasib baik saya sudah buat eksperimen itu di dua tempat. Jadi, 100 peratus saya tolak bahu jalan sebagai punca kecederaan dada kanan mangsa. Ia tak masuk akal,” katanya yang juga bekas penyelia Dr Ahmad Hafizam ketika pakar forensik itu menyambung pengajiannya.

Katanya, seorang pakar seharusnya harus meneliti sebarang objek seperti Fire Rescue Tender (FRT), van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta kereta yang ada pada masa kejadian.

Terdahulu dalam prosiding inkues itu, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang menggantikan peguam Syazlin Mansor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberitahu pihaknya akan menggunakan segala keterangan yang dibawa Dr Shahrom sebelum ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 4:16 PM
    DR SHAHROM (tengah) ketika hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib. FOTO Sairien Nafis