SINGLE dirakam sebagai portfolio baharu dalam kerjaya, beri pengalaman berharga. FOTO: Saifullizan Tamadi
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

PELAKON kecil molek, Eyka Farhana melangkah setapak lagi dalam kerjayanya apabila mencuba nasib sebagai penyanyi. Eyka, 24, atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi diberi peluang menyanyikan lagu tema drama Dia Adelia berjudul Laki Laki yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi.

Walaupun lagu ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna itu percubaan pertama Eyka menjadi penyanyi, ia bukan masalah besar untuknya.

Eyka yang juga pelakon filem Polis Evo berkata, tidak salah untuknya mencuba sesuatu yang baharu selain ingin menonjolkan bakat dan sisi lain dalam dirinya.

“Pengalaman ketika merakamkan lagu ini sangat menyeronokkan. Walaupun gementar sebab pertama

kali masuk studio, Omar K dan Ikhwan banyak membantu dan ajar saya menyanyi dengan sebaik mungkin.

“Bukan mudah nak menjadi penyanyi. Malah, banyak lagi perlu saya pelajari dan ilmu yang perlu digali untuk menjadi penyanyi yang bagus.

“Cuma, ingin ditegaskan keputusan menyanyi ini bukan nak menjadi penyanyi profesional. Ia sekadar suka-suka. Kalau saya tidak mencuba, kita tidak tahu apa maklum balas diterima. Pada masa sama, penulis lirik dan wartawan hiburan, Rudy Imran juga minta saya cuba,” katanya.

Menurut Eyka, single itu sebagai portfolio baharu dalam kerjayanya yang dianggap sesuatu yang istimewa dan pengalaman berharga.

Bagaimanapun, Eyka mengakui fokus utamanya masih pada lakonan dan pengacaraan.

“Saya bukan nak buat semua benda, tapi ini peluang yang diberikan. Pada masa sama, dapatlah juga saya kembangkan bakat.

“Fokus saya masih pada lakonan dan pengacaraan. Bagi saya, jika ada cabang seni lain yang boleh dibuat, apa salahnya mencuba,” katanya.

EYKA bakal berlakon di Bali untuk drama Cinta Itu Fairytale bersama pelakon Indonesia.

BERLAKON DI INDONESIA

Selain menyanyi, Eyka juga mampu tersenyum lebar apabila satu lagi impiannya bakal tercapai iaitu berlakon di bawah syarikat produksi dari Indonesia. Eyka berkata, dia akan terbabit dalam penggambaran drama web bersiri, VIU yang memulakan penggambaran tidak lama lagi.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat ini saya akan ke Jakarta untuk proses bacaan skrip. Selepas itu, baru saya diberikan butiran lanjut. Saya dimaklumkan penggambaran akan dibuat di Bali selama 45 hari.

“Saya bersyukur dengan tawaran diberikan. Apatah lagi selama ini saya memang mengimpikan dan selalu bercakap pada diri nak berlakon dengan syarikat produksi luar. Apabila dapat peluang ini, saya berasa sangat teruja.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat belajar macam mana mereka bekerja di sana dan melihat cara kerja mereka,” katanya.

Eyka berkata, pengalaman berlakon dengan pelakon Indonesia, Muhammad Ikhsan Saleh dalam drama Cinta Itu Fairytale baru-baru ini dijadikan asas untuknya membiasakan diri sebelum berlakon dengan pelakon lain di sana.

“Saya sudah ada pengalaman sebelum ini, jadi selepas ini tidaklah berasa kekok dan terkejut sangat. Saya ada juga bertanya pada rakan pelakon lain yang pernah berlakon di sana, mereka cakap tidak ada banyak perbezaan. Mereka berpesan kena pandai bergaul. Jadi, untuk lebih memahami dan bertutur dalam bahasa Indonesia, saya kena belajar. Ini persediaan yang saya buat daripada sekarang,” katanya.

Eyka berkata, tidak salah untuknya melebarkan sayap lakonan di sana sekiranya itu adalah rezeki yang sudah tertulis untuknya.

“Kalau ada lagi peluang selepas ini, saya okey saja. Lagipun, tak salah nak kembangkan bakat di sana. Alhamdulillah, apabila orang nampak bakat saya di sini, mereka cuba bekerjasama dengan saya. Saya bersyukur sangat,” katanya yang bakal terbabit dalam filem Polis Evo 3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 5:30 AM