ASMA (kanan) meninggal dunia hari ini iaitu seminggu selepas Bakar meninggal dunia. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


KASIH sayang suami isteri hingga ke akhir hayat.

Demikian kisah Asma Awang, 82, yang meninggal dunia, hari ini iaitu seminggu selepas kematian suaminya, Bakar Gzali, 88, pada 23 Jun lalu.

Isteri bekas Imam Surau Al Falah Kampung Kilang Kecil, Pendang itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat jangkitan kuman di bahu kiri pada 4.35 pagi hari ini.

Cucu sulungnya, Zuliana Zulkiffli, 41, berkata, namun begitu, hakikatnya arwah dilihat begitu sedih dengan pemergian suaminya dan sejak itu keadaan arwah semakin merosot.

Menurutnya, keadaan arwah semakin tenat sejak petang semalam dan doktor berusaha untuk menyelamatkannya, tetapi gagal.

“Mungkin arwah rindu sangat pada suaminya kerana sepanjang hayat, mereka tidak pernah berpisah walaupun sekejap,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya itu di Kampung Kechil, hari ini.

Sementara itu anak bongsu arwah, Humaidi Bakar, 34, berkata, sebelum itu, arwah ibunya sempat menyampaikan salam dan memohon maaf kepada ahli keluarga dan kenalannya.

“Arwah ibu minta sampaikan salam selain memohon maaf kepada semua termasuk yang tak dapat hadir menziarahinya di hospital semalam.

“Kami reda dengan pemergian arwah walaupun berat untuk menerima kehilangan dua insan tersayang serentak,” katanya.

Jenazah Asma selamat dikebumikan berhampiran pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Air Puteh Dalam selepas solat Zuhur, hari ini.

Pasangan suami isteri itu meninggalkan 10 anak, 42 cucu dan 14 cicit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 6:02 PM