KAMARULZAMAN Kadir (kanan) menggesa Megat D Shahriman menarik balik kenyataannya dan memohon maaf. FOTO arkib NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PRESIDEN Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin diselar selepas melabelkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebagai ‘tempat najis’.

Calon Presiden MPM itu dilapor mengeluarkan kenyataan kesat berkenaan selepas berang dengan keputusan ahli gabungan MPM memutuskan pemilihan pucuk pimpinan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Sabtu lalu ditangguhkan.

Persatuan Powerlifting Para Malaysia, Kamarulzaman Kadir menggesa Megat D Shahriman menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

“Kami mendesak beliau menarik balik kata-kata yang menghina dan memohon maaf kepada semua susulan keceluparan itu. Beliau baru saja terbabit sukan OKU, namun sudah menimbulkan perpepsi negatif, jika MPM ‘tempat najis’ eloklah tidak bertanding.

“Saya dan beberapa rakan lain termasuk atlet berasa terhina. Kami hormat niat semua pihak yang mahu membantu dan membangunkan sukan orang kurang upaya (OKU) namun tolong jaga tutur kata. Kami ada maruah dan berjuang dalam pergerakan paralimpik puluhan tahun,” katanya.

Jelasnya, penangguhan AGM berdasarkan persetujuan 14 ahli gabungan yang layak menentukan hala tuju MPM seperti termaktub dalam perlembagaan.

“Bagi kami, biar ada pegawai ikhlas berjuang demi pergerakan paralimpik. Kedudukan kewangan kukuh bukan faktor utama, asalkan rela berkorban tenaga dan buah fikiran serta ikhlas memperjuangkan hak atlet dan warga OKU lain,” katanya.

Malah menurut Kamarulzaman, tindakan Megat D Shahriman mengugut mahu membawa ke peringkat antarabangsa bakal mengundang masalah lebih besar termasuk penggantungan.

“Malaysia mungkin boleh lupakan pingat di Sukan Paralimpik Tokyo. Inikah yang kita mahu? Gara-gara merebut jawatan, atlet yang bertungkus-lumus turut terpalit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:45 AM