CEF Ismail menumis makanan masakannya.
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Berpengalaman 20 tahun memasak di Tanah Suci menjadikan cef ini antara individu terpenting sepanjang musim haji tahun ini yang bertanggungjawab menyediakan masakan menyelerakan kepada jemaah dan petugas haji.

Cef Ismail Hamid, 48, dibantu dua pembantunya, Cef Bakri Ahmad, 41, dan Cef Yusairi Mustafa, 40, antara tukang masak mahir yang terpilih menyediakan makanan kepada petugas haji di ibu pejabat Tabung Haji (TH) di Bangunan Abraj Al-Janadriah di Makkah pada musim haji tahun ini.

Mula membabitkan diri dalam bidang kulinari sejak berusia 23 tahun dan pernah memasak untuk lebih 10,000 jemaah muassasah di Madinah pada 1998 menjadikan Ismail kaya dengan pengalaman untuk bertugas di dapur Tanah Suci khususnya menyediakan hidangan buat jemaah haji Malaysia.

Ismail berkata, peluang berkhidmat bersama TH di Tanah Suci disifatkan sebagai satu nikmat yang dinanti-nanti khususnya apabila dapat menyediakan makanan kepada petugas yang menyantuni jemaah haji.

“Saya masih ingat lagi pada 2008, saya masak untuk jemaah haji ketika kemuncak haji di Arafah dengan menggunakan dapur kayu arang sambil menyarung ihram kerana turut serta menjalankan ibadah wukuf.

“Pengalaman seperti ini tidak ternilai kerana kita ingin memastikan jemaah dapat makan dan mengalas perut supaya tidak mengganggu ibadah mereka,” katanya.


CEF Ismail (empat dari kiri) bersama pasukan tukang masaknya.

Menurutnya, dia yakin tujuan utama bertugas dan beribadah perlu seiring dalam memastikan tanggungjawab yang dipikul di samping mencari keberkatan dalam tugasan.

“Kehadiran cef berserta menu, resipi dan kepelbagaian masakan diharap dapat menyuntik semangat khususnya petugas haji Malaysia seperti sedang makan di tanah air,” katanya.

Ismail berkata, dia mengambil pendekatan beribadah menerusi masakan dengan memperjuangkan penyediaan masakan yang halal dan bersih meliputi segenap aspek dengan mematuhi peraturan standard operasi pengendalian penyediaan makanan yang ditetapkan oleh TH, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi.

“Saya bersyukur kerana dapat bekerja sambil beribadat. Malah, bertugas di Tanah Suci ini adalah impian yang saya harapkan dan Alhamdulillah tahun ini dimakbulkan” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 6:30 AM
Skip this ad x