GAMBAR pasangan kekasih disimbah cat ketika berjalan di belakang sebuah hospital dekat Bandar Sungai Long, Kajang yang tular di media sosial, hari ini.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


PASANGAN kekasih bertukar merah selepas disimbah cat oleh lelaki tidak dikenali ketika sedang berjalan di belakang hospital di Bandar Sungai Long, Kajang, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, suspek yang menunggang motosikal sempat memarahi pasangan berkenaan sebelum beredar dari lokasi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek dipercayai warga asing.

“Kejadian berlaku ketika seorang lelaki sedang berjalan kaki di belakang sebuah hospital di Bandar Sungai Long bersama teman wanitanya.

“Secara tiba-tiba mangsa dilontarkan pasir dan cat berwarna merah oleh seorang lelaki dipercayai warga asing.

“Suspek dikatakan berkulit gelap memakai topi keledar berwarna hitam, tetapi jenis dan nombor pendaftaran motosikal tidak dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek dikatakan memarahi mangsa dan teman wanitanya dalam bahasa asing kemudian terus melarikan diri.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan khianat kepada mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Hafizah di talian 0166060955,” katanya.

Terdahulu tular gambar seorang lelaki dan seorang wanita dan seorang lelaki yang juga penuntut universiti swasta dalam keadaan dipenuhi cat berwarna merah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:39 PM