Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PASIR GUDANG: Punca murid dan pelajar sekolah sekitar daerah ini mengalami muntah-muntah dan sesak nafas sejak Khamis lalu, terus menjadi tanda tanya apabila keputusan ujian makmal ke atas sampel darah dan air kencing lapan mangsa tidak menemui kehadiran sebarang unsur kimia seperti yang berlaku dalam kes Sungai Kim Kim sebelum ini.

Ini menyebabkan punca sebenar insiden itu yang dikaitkan dengan pencemaran udara masih tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, Jabatan Kimia secara berterusan mencari apakah bahan kimia yang terdapat dalam darah dan air kencing pesakit, namun semuanya negatif.

“Hasil keputusan ujian makmal mendapati sampel lapan pesakit yang diambil untuk ujian Urine Cyanide, Blood Cyanide dan VOC (bahan kimia organik menguap dan mencemari udara) adalah negatif,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Bee Yin berkata, pihaknya sudah meneliti bahan kimia yang disyaki sebagai bahan pencemar, tetapi semuanya negatif.

“Kami tidak temui semua bahan itu dalam sampel air kencing dan darah. Ini berbeza dengan kes Sungai Kim Kim kerana memang ada bukti fisiologi. Ada bukti kimia. Ujian air kencing dan darah juga mengesan kandungan menyebabkan simptom itu.

“Tetapi kali ini simptom ada, bukti tiada. Unsur kimia yang kita syak tidak dikesan dalam ujian yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata, insiden kali ini belum boleh dikatakan berpunca daripada gas dari kilang, namun semua tindakan diambil adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami tidak boleh kata insiden ini disebabkan gas toksik dari kilang. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami cuma pastikan apa yang mungkin menjadi punca pencemaran dibersihkan atau mematuhi standard Akta Kualiti Alam Sekeliling,” katanya.


MOHD Khuzzan bersama Yeo pada sidang media susulan pencemaran di kawasan Pasir Gudang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 10:00 AM