RAHIMAH menunjukkan luka di mulut kepada anaknya, Nur Syazwani.
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


KOTA BHARU: “Tiada maaf buat peragut kerana menganiaya orang tua seperti kami hanya untuk dapatkan duit dengan mudah,” kata suri rumah yang cedera bersama suami akibat diragut di Kampung Keting, Bachok, kelmarin.

Rahimah Mat Hasan, 56, berkata, dia dan suami, Alias Awang, 64, menerima lebih 60 jahitan di bahagian mulut, lengan, kaki kanan dan kedua-dua belah betis selepas terjatuh dalam parit akibat bergelut dengan dua peragut.

Katanya, dia sendiri menerima 20 jahitan di mulut dan sakit seluruh tubuh manakala keadaan suami lebih teruk apabila parah terkena jalan raya.

“Keadaan suami sendiri memang sudah tidak sihat memandangkan dia baru menjalani pembedahan membuang usus pada 2016 lalu dan sekarang pula perlu menanggung kesakitan akibat peragut menyebabkan kesihatannya bertambah teruk.

“Sebab tu sukar saya nak maafkan peragut itu, tambahan pula kami berdua pernah kena ragut pada dua tahun lalu di Kubang Kerian. Sekarang saya jadi trauma nak pergi ke mana-mana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Lima, dekat sini, semalam.


LENGAN Alias cedera selepas bergelut dengan peragut.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin, Rahimah dan suami diragut dua lelaki menunggang motosikal selepas pulang mendengar kuliah agama di Pasar Selasa di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh.

Ketika tiba di kawasan sawah padi di Kampung Keting, Bachok kira-kira 50 meter dari pasar, motosikal EX5 yang dinaiki dikejar dua peragut sebelum pembonceng cuba meragut beg tangan di riba Rahimah.

Rahimah berkata, dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gunung manakala suami mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini dan baru dibenarkan pulang malam, semalam.

“Mak cik tak nampak wajah mereka sebab mereka berdua memakai topi keledar yang menutup muka mereka. Cuma mak cik ingat pemboncengnya bertubuh kurus,” katanya.

Bagi Alias pula, dia berharap masyarakat mengambil iktibar kejadian menimpanya dan isteri apabila meletakkan beg tangan di tempat terdedah kerana boleh mengundang jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu .

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan akibat meragut. Polis berusaha memburu suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 6:00 AM