GAMBAR kenangan Zulaikha bersama Haffiszattul dan bapanya, Sheikh Muhammad Bukhary Sheikh Basir.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Zulaikha memang lahir untuk beri kami nikmat dan satu pelajaran bahawa Allah itu sebaik-baik perancang.

“Dia satu anugerah tidak terhingga dan banyak mengajar kami erti kasih sayang, kekuatan, kesabaran dan sedekah,” kata Haffiszattul Nur Akmar Samsudin.

Haffiszattul, 30, adalah ibu kepada bayi berusia 17 bulan, Sheikha Zulaikha yang menghidap Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH) atau masalah sistem imun badan tidak stabil.

Bayi berkenaan meninggal dunia petang Sabtu lalu di sebuah hospital di Petaling Jaya selepas 12 hari menjalani pembedahan pemindahan sum sum tulang akibat penolakan ubat dan kemoterapi serta tekanan darah rendah.

Bagi Haffiszattul, pemergian permata hati sulung itu tiada galang gantinya biarpun mereka sekeluarga menerima kehadiran cahaya mata kedua sehari selepas kematian Zulaikha.

“Zulaikha membawa satu rahmat dan nikmat paling besar dalam keluarga kami, tetapi Allah lebih sayang dia. Anak syurga yang paling terbaik dan disenangi semua orang.

“Kehilangan Zulaikha tidak akan sama, tetapi satu sinar baru untuk permulaan hidup.


LAPORAN Harian Metro, 11 April lalu.

“Kami masih cuba membiasakan diri tanpa Zulaikha, tetapi mula bangkit dengan menghargai kehadiran Khairy (adik Zulaikha). Kami akan didik Khairy sekuat dan sehebat kakaknya,” katanya yang memaklumkan berita pemergian bayi itu kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, Zulaikha selamat dikebumikan di Pelindung, Kuantan, Pahang, Ahad lalu.

“Kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang selama ini sentiasa berada di belakang kami ketika Zulaikha dalam rawatan.

“Untuk makluman, sumbangan terkumpul yang kami terima sebanyak RM84,000 mencukupi untuk bayaran semua pakej kos rawatan manakala ubatan khas RM20,000 ditanggung sendiri,” katanya.

Kisah penderitaan Zulaikha disiarkan Harian Metro bermula 11 April lalu hingga mengundang masyarakat tampil menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan moral kepada keluarga ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 5:30 AM