FOTO Hiasan
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini, mengekalkan sabitan terhadap guru agama yang didapati bersalah mencederakan kaki muridnya yang berusia 11 tahun dengan menggunakan rotan kerana enggan menunaikan solat.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman bagaimanapun menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada penjara sehari iaitu pada hari ini, manakala hukuman denda RM2,000 dinaikkan kepada RM4,000 terhadap tertuduh Muhammad Adib Abd Halim, 25.

Ketika membaca ringkasan penghakimannya, Abdul Halim berkata, sabitan kes dikekalkan namun hukuman berkenaan dipinda.

Prosiding rayuan berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Pushparasi, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Amin Abdullah.

Pada 16 November tahun lalu, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap tertuduh.

Muhammad Adib dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Nor Afidah Idris setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Muhammad Adib dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan tuduhan memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret bagaimanapun membenarkan permohonan Khairul Amin bagi penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi.

Namun, memerintahkan tertuduh membayar denda itu serta-merta atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda terbabit.

Pada 28 Ogos 2017, Muhammad Adib mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas murid darjah lima itu di bahagian kaki kiri dan kanannya dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, pada jam 2.25 petang, 16 Ogos 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 12:03 PM